5 tahun timba pengalaman, impian jadi usahawan muda jadi kenyataan
Beliau yang memang gemar memotong rambut, memulakan perjalannya menjadi usahawan dengan menimba pengalaman, bekerja sambilan di sebuah kedai gunting rambut selama lima tahun.
Ini meskipun, Nurkhai bekerja sepenuh masa sebagai guru sukan di prasekolah.
Dengan tekad kuatnya untuk memiliki perniagaan sendiri, beliau mengetepikan sebahagian masanya walau lepas penat bekerja, untuk mencapai sikat serta gunting sebagai perkakas utamanya dalam menyediakan khidmat gunting rambut di koridor flatnya.
Maka lahirlah, KZ Barbershop, perniagaan yang dijalankan bersama seorang teman rapatnya sejak Ogos 2024.
Secara purata, Nurkhai mendapat lima pelanggan setiap petang.
Mereka termasuk pelanggan setia dari kedai gunting rambut di mana beliau bekerja dahulu.
Sejak Nurkhai Arina berkongsi di TikTok pengalamannya membuka Doosh Barbershop di koridor rumahnya di Toa Payoh, beliau mula menarik ramai pelanggan lain yang tertarik dengan strategi pemasarannya.
"Di dalam fikiran saya, saya cuma mahu buka perniagaan saya sendiri," kongsinya bersama BERITA Mediacorp.
"Saya juga ingin menunjukkan kepada orang ramai yang anda boleh mulakan perniagaan dari bawah dan Insya-Allah ia akan berjaya."
KUASA MEDIA SOSIAL
Kandungan yang dimuat naik dalam wadah media sosialnya memberikan penonton gambaran pengalaman dan cabaran yang diharunginya sebagai seorang usahawan muda.
Tanpa diduga, perkongsiannya menarik ribuan tontonan dan pastinya pelanggan baharu.
"Pada mulanya , saya hanya tayangkan video potong rambut sahaja. Lama-kelamaan saya tunjukkan juga muka, suara saya kerana saya ingin orang rasakanseperti mereka kenal saya," kongsinya lagi.
Video beliau, atau ‘vlogs’, juga sering mengadungi kata-kata membakar semangat kerana seperti perniagaan lain, ada pasang surutnya.
Ada kalanya, Nurkhai hanya ada seorang pelanggan sahaja.
"Kita harus kentalkan semangat. Oleh kerana video saya tular di TikTok, ramai yang beri mesej dan komen, rata-ratanya positif," katanya lagi.
Antaranya, "kerja baik anak muda". "Teruskan adik!"
LUCU! RAMAI SANGKA NURKHAI BUDAK MASIH SEKOLAH
"Komen-komen yang sama terima banyak yang memberi rangsangan dan dorongan", kata Nurkhai buka cerita.
"Saya mulanya tidak perasan yang komen-komen itu ingatkan saya budak lelaki, malah saya dikatakan pelajar sekolah menengah," sambungnya sambil ketawa lucu.
Sebab itu tambahnya, ada pelanggan yang datang dengan anggapan untuk membantu sokong "budak kecil ini berniaga", kata Nurkhai sambil tersengih.
"Ada satu pelanggan tu datang bersama anak kecil tiga tahun. Saya beritahunya, saya bukan lelaki dan umur saya 29 tahun.
"Dia terkejut tetapi tetap sokong saya", ujarnya tersenyum lebar.
Ibu bapanya menjadi pendorong utama Nurkhai membuka kedai di luar rumahnya.
Bahkan, dia juga berkongsi video bapanya, personaliti televisyen Khairuddin Samsudin yang sangat menyokong minat anaknya itu.
Ini meskipun, pada mulanya mereka agak bimbang jika minatnya itu sekadar satu hobi.
Nurkhai turut tersentuh dengan dorongan dan sikap timbang rasa jiran tetangga.
“Di tingkat ini, ketiga-tiga jiran saya baik sangat. Mereka tidak buat bising, mereka tidak buat aduan,” kongsi Nurkhai.
Mereka tanya saya, "Wah! Gunting rambut."
Saya jemput mereka, "Aunty, mahu gunting rambut?"
Menurutnya lagi, sokongan mereka memberinya semangat untuk terus berjuang mengejar impiannya. Dan beliau amat menghargai rasa yakin mereka terhadapnya.
"Untuk KZ, saya tidak mahu gunting rambut di luar rumah untuk selama-lamanya.
"Saya mahu ada sebuah kedai, sebuah perniagaan di mana pelanggan saya boleh rasa selesa dengan alat penghawa dingin, boleh cuci rambut.
"Banyak lagi perkhidmatan yang boleh saya beri. Ini hanya satu permulaan," ujarnya sebagai menutup cerita.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.