Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

5 sekawan ini tubuhkan Layl Ash-Shayr; ruang selamat bagi penulis Islam setempat pamer karya

Anggaran Waktu Membaca:
5 sekawan ini tubuhkan Layl Ash-Shayr; ruang selamat bagi penulis Islam setempat pamer karya

Gambar: Layl Ash-Shayr

SINGAPURA: Dulu, mereka terpaksa mengharungi rasa kurang selesa setiap kali mereka menghadiri sesi ‘mikrofon terbuka’ (open mic) tempatan yang dianjurkan, memandangkan ia seringkali mempunyai sajian minuman keras.

Sesi ‘mikrofon terbuka’ merupakan platform yang disediakan untuk sesiapa saja mempamerkan beraneka jenis karya di hadapan para penonton, daripada komedi kepada deklamasi sajak.

Pengalaman tersebut bagaimanapun membakar semangat Nur Laili dan Zubaidah Dadlani untuk menyediakan platform seumpama itu, yang khususnya memenuhi keperluan para penggemar seni Islam seperti mereka.

Maka, timbul idea mewujudkan ‘Layl Ash-Shayr’!

Ia diasaskan dan dikelolakan oleh sekumpulan belia dalam lingkungan usia 20-an tahun, yang sedang melanjutkan pengajian dan yang sudah mempunyai pekerjaan sepenuh masa. Selain Nur Laili dan Zubaidah, mereka terdiri daripada Nursarah Safari, Ahmad Mudaafi’ dan Thasneem.
 
(Dari Kiri) Nursarah Safari, Nur Laili Ahmad Mudaafi’, Zubaidah dan Thasneem. (Gambar: Layl Ash-Shayr)
Sebanyak sepuluh sesi ‘mikrofon terbuka’ sudah dianjurkan sejak ia dilancarkan genap setahun lalu. Malah, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan. Sehingga 50 hadirin daripada pelbagai latar belakang dan lapisan usia turut serta dalam setiap sesi yang dianjurkan.

Mengulas mengenai sambutan diterima sejauh ini, Laili, 27 tahun, pengasas bersama Layl Ash-Shayr berkata: “Memang ada permintaan untuk (platform sedemikian) tetapi kami tidak menyedarinya pada mulanya. Semua orang mahu mempersembahkan karya mereka. Mereka hanya ingin ruang yang membuat mereka rasa selesa, rasa dilihat, diiktiraf dan didengar.”

AJAK MASYARAKAT PELBAGAI LATAR BELAKANG SELAMI KEINDAHAN SASTERA

Bagi setiap sesi mikrofon terbuka, pihak penganjur akan menjemput sesiapa sahaja yang berminat, tidak kira yang baru berjinak-jinak atau yang berpengalaman, untuk mempersembahkan karya masing-masing.

Di samping itu, sesi tersebut turut menampilkan dua penceramah, yang biasanya terdiri daripada individu yang disegani ramai dalam bidang masing-masing. Antara nama-nama besar yang pernah ditampilkan jawatankuasa Layl Ash-Shayr termasuk penyanyi Shabir dan Shazza.
 
Gambar: Layl Ash-Shayr
“Kami pernah menjemput pemuzik yang berketurunan Melayu Muslim mahupun India Muslim antara lain untuk menunjukkan betapa bersemangat dan bertenaga masyarakat persuratan kita, menjangkaui sekadar pembacaan buku saja,” jelas Zubaidah, 26 tahun, yang juga merupakan pengasas bersama Layl Ash-Shayr.

Bahkan, istilah ‘Layl Ash-Shayr’ yang membawa maksud ‘Malam Syair’, berasal daripada campuran pelbagai bahasa termasuk bahasa Arab, Melayu dan Urdu.

Ia dianggap simbolik untuk menggambarkan matlamat teras Layl Ash-Shayr dalam mengajak pelbagai lapisan masyarakat menyelami keindahan sastera.
Gambar: Layl Ash-Shayr
Lantas, naskhah yang dipersembahkan semasa sesi mikrofon terbuka tidak terhad kepada bahasa Inggeris sahaja tetapi bahasa-bahasa lain juga.

Ditanya mengenai landskap persuratan tempatan khususnya dalam kalangan para penulis Islam, Zubaidah berkata: “Saya rasa di Singapura ini memang ada ramai penulis Islam tetapi kebanyakan daripada mereka, kita tidak kenal atau mereka tidak dapat platform yang cukup untuk kita mengenal mereka.”

Justeru itu, jawatankuasa Layl Ash-Shayr menyuarakan harapan agar wadah tersebut dapat menonjolkan lagi bakat serta semangat penulis-penulis tempatan yang boleh diteladani.

USAHA DAPAT DANA ANTARA CABARAN TUBUH LAYL ASH-SHAYR

Meskipun sokongan yang diterima daripada kedai buku Wardah Books di Bussorah Street dalam menyediakan tempat acara pastinya meringankan beban kos, mereka akur masih memerlukan dana untuk memastikan kesinambungan usaha Layl Ash-Shayr.

Di bawah program ‘Jalan Besar Fellowship’, Layl Ash-Shayr berjaya menerima dana sebanyak S$3,000 untuk menyokong usaha mereka mempamerkan sastera tempatan dan mendekati masyarakat persuratan setempat.

Dengan dana yang disuntik untuk menampung kos mengelolakan Layl Ash-Shayr, pelbagai rancangan sudahpun dilakarkan demi merancakkan dan mengembangkan usaha yang dilakukan Layl Ash-Shayr sejauh ini.

Sebuah antologi, yang menghimpunkan pelbagai naskhah karya daripada para penulis setempat, akan dilancarkan Layl Ash-Shayr pada Julai nanti sempena genap setahun ia ditubuhkan. Ini sekali gus diharapkan akan menjadi titik permulaan bagi usaha Layl Ash-Shayr memperkasa generasi penulis Islam setempat.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan