3 usahawan muda ini berani tawar khidmat perkahwinan meski baru setahun jagung ceburi industri
Kini bakal mempelai mempunyai pelbagai pilihan dengan lebih banyak syarikat menawarkan khidmat perkahwinan di pasaran. BERITAmediacorp bertemu dengan tiga usahawan wanita dalam lingkungan usia 20an tahun yang meskipun baru, bertekad untuk mengukir nama dalam industri perkahwinan tempatan.

Tiga usahawan wanita dalam lingkungan usia 20an tahun yang meskipun baru ini, bertekad untuk mengukir nama dalam industri perkahwinan tempatan.
SINGAPURA: Kompang dipalu, pengantin baru. Duduk bersanding, tersimpul malu. Begitulah senikata lagu Kompang Dipalu, yang sering dimainkan di majlis-majlis persandingan orang Melayu.
Namun jauh lebih awal sebelum si raja dan permaisuri sehari dapat melangkah ke jinjang pelamin, banyak persediaan yang perlu dilakukan. Antaranya ialah membuat tempahan khidmat majlis perkahwinan seperti busana pengantin, katering, dekor dan lain-lain lagi.
Kini bakal mempelai mempunyai pelbagai pilihan dengan lebih banyak syarikat menawarkan khidmat perkahwinan di pasaran. BERITAmediacorp bertemu dengan tiga usahawan wanita dalam lingkungan usia 20an tahun yang meskipun baru, bertekad untuk mengukir nama dalam industri perkahwinan tempatan.
NATASHA ASHIKIN: ‘PEKERJAAN BIASA’ TIDAK MEMUASKAN
Sejak di bangku sekolah lagi, Cik Natasha Ashikin Ahmad Safarudin, 28 tahun, bercita-cita memiliki perniagaan sendiri. “Saya suka membuat keputusan sendiri dan rasa puas hati apabila idea-idea saya menjadi realiti. Dan dalam industri perkahwinan ini tidak ada had bagi daya kreativiti,” kata Cik Natasha yang merupakan pemilik Nawwarah Bridal.

Cik Natasha Ashikin (kiri), pemilik Nawwarah Bridal (Gambar: Blissphotocinema)
“Setelah mendapatkan ijazah dalam bidang pemasaran, saya mengambil beberapa pekerjaan yang berkaitan dengan apa yang saya pelajari di universiti. Tetapi saya tidak rasa gembira atau puas bekerja di pejabat,” tambah beliau.
Dengan pengalaman selama lapan tahun dalam industri perkahwinan sebagai seorang jurusolek bebas dan seterusnya bekerja di sebuah kedai busana pengantin, Cik Natasha mengambil langkah berani untuk menghasilkan sendiri koleksi busananya. Namun, keputusan untuk memulakan perniagaan ini tiga tahun lalu bukan mudah.

(Gambar: Instagram/nawwarahbridal)
“Pelanggan pertama saya inginkan tiga baju pengantin yang dihasilkan khas buat majlis perkahwinannya. Oleh sebab saya belum lagi ada satu pun koleksi busana pada waktu itu, saya terpaksa membuktikan diri saya. Saya bekerja keras untuk mencari pereka baju, tukang jahit dan kain-kain yang terbaik. Saya juga harus belajar menjahit dan melukis rekaan baju-baju pelanggan,” kata beliau.
Bermula dari hanya berjumpa para pelanggannya di bilik tidur Cik Natasha, kini Nawwarah Bridal beroperasi di ruang pameran tersendiri seluas 1,000 kaki persegi, dengan dua pekerja sepenuh masa.
KHAIZURAN ILIAS: BUAT KEK MELEGAKAN TEKANAN
Berusia 25 tahun, Khaizuran Ilias atau lebih dikenali sebagai Zuran, pada mulanya membuat kek untuk mengisi masa lapangnya. Bagi Cik Zuran, membuat kek membantu menghilangkan tekanan, walaupun prosesnya tidak mudah.
“Saya rasa puas apabila berjaya menghasilkan kek yang sukar dibuat. Selalunya saya sendiri tidak makan kek yang saya buat. Sebaliknya saya gemar memberikan kek-kek itu kepada keluarga dan rakan-rakan,” kata beliau.

Cik Khaizuran Ilias, pemilik Cake Vow (Gambar: Khaizuran Ilias)
Minat membuat kek akhirnya menjadi detik permulaan bagi perniagaan Cik Zuran apabila beliau menjual kek cawan (cupcake), brownies dan tat semasa menuntut di politeknik dan universiti.

(Gambar: Instagram/cakevow)
Kini beliau merupakan pemilik khidmat membuat kek, iaitu Cake Vow. “Pada 2014 apabila saya mulakan perniagaan ini, saya namakannya Zuran’s Kitchen. Tetapi dua tahun lalu saya menukar namanya kepada Cake Vow kerana membuat keputusan untuk berfokus kepada menghasilkan kek buat majlis perkahwinan,” ujar beliau kepada BERITAmediacorp.
SYAFIQAH MAHMUDDIN: MINAT MEKAR MENJADI PERNIAGAAN
Dikenali sebagai ‘florist’ atau penggubah bunga dalam kalangan rakan-rakannya, Nurul Syafiqah Mahmuddin, 26 tahun, mempunyai minat yang mendalam terhadap bunga. Ini mendorong beliau untuk mengambil Diploma dalam Pengurusan Hortikultur dan Landskap. Semasa di sekolah, beliau berpeluang bekerja di sebuah kedai bunga.

Cik Syafiqah, pemilik The Flower Godmother (Gambar: Syafiqah Mahmuddin)
“Pada mulanya rakan-rakan sering minta bantuan untuk membuat gubahan bunga untuk mereka. Dari situ saya memulakan perniagaan saya sendiri iaitu, The Flower Godmother, pada tahun 2014,” kata Cik Syafiqah.

(Gambar: Instagram/theflowergodmother)
Namun, pada mulanya beliau tidak yakin dengan keputusannya. “Waktu itu saya tidak ada nama di industri ini, saya tidak ada pendapatan yang stabil atau pun modal.
Jadi saya terpaksa mengambil pekerjaan sepenuh masa di samping menjalankan perniagaan saya,” tambah beliau.
Kini Cik Syafiqah bertugas sebagai seorang guru pada siang hari, dan pada sebelah malam beliau menghasilkan gubahan-gubahan yang ditempah oleh para pelanggannya.
PERANAN MEDIA SOSIAL DALAM KHIDMAT PERKAHWINAN
Dengan kemasukan pemain-pemain baru yang menawarkan khidmat-khidmat perkahwinan, sudah tentu landskap perniagaan industri ini bakal berubah.
Ini lebih-lebih lagi dirangsang oleh cara khidmat-khidmat tersebut dipasarkan - iaitu melalui media sosial. Oleh kerana media sosial menghadkan pengalaman produk dan khidmat sepenuhnya, maka ‘pandangan pertama’ untuk menarik perhatian para pelanggan di alam maya begitu penting bagi para peniaga.
“Saya mendapatkan semua inspirasi dan idea untuk majlis perkahwinan saya daripada Instagram dan Pinterest. Yang penting mesti ada estetik dan boleh dipercayai - seperti rakan-rakan yang pernah membuat tempahan dengan syarikat-syarikat itu,” kata Siti Umairah Abdul Ghani, 25 tahun, yang baru berkahwin Julai lalu.

(Petikan skrin laman-laman Instagram Nawwarah Bridal, Cake Vow dan The Flower Godmother)
Menurut Cik Zuran, “Tidak semestinya saya tidak ada ruang kedai, saya tidak boleh dipercayai. Bagi saya, laman media sosial saya itulah yang menjadi seperti ‘tingkap’ kedai saya. Dengan itu, gambar-gambar yang saya muat naik di Instagram mesti kelihatan sedap, kerana walau bagaimana sedap produk anda, jika ia kelihatan tidak cantik, tiada orang yang ingin mencubanya.”
Walaupun terdapat beberapa kes penipuan melibatkan khidmat perkahwinan baru-baru ini, ketiga-tiga usahawan ini yakin dengan maklum balas yang diterima dan testimoni pelanggan yang disebarkan dari mulut ke mulut. Para pelanggan terdiri daripada mereka yang seringkali dirujuk oleh rakan-rakan yang pernah membuat tempahan ataupun langsung dari laman media sosial.
“Yang paling penting, kita membuat bakal mempelai rasa selesa dengan khidmat pelanggan kami dan menghasilkan kualiti yang terbaik untuk mereka,” kata Cik Natasha.
“Bagi saya, kebahagiaan pelanggan menjadi keutamaan saya. Jadi saya pastikan yang saya bekerjasama dengan bakal mempelai untuk menghasilkan yang terbaik menggunakan bajet yang mereka tetapkan,” Cik Syafiqah memberitahu BERITAmediacorp.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.