Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

3 graduan Melayu/Islam ini antara kohort perintis sepenuh masa SIT

Seramai 1,650 graduan menerima ijazah sarjana muda dari Institut Teknologi Singapura (SIT) tahun ini, dalam majlis-majlis konvokesyen tiga hari yang berakhir esok (19 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 1,650 graduan menerima ijazah sarjana muda dari Institut Teknologi Singapura (SIT) tahun ini, dalam majlis-majlis konvokesyen tiga hari yang berakhir esok (19 Okt).

197 daripada mereka merupakan graduan dari kohort perintis yang mengikuti pengajian ijazah sepenuh masa.

BERITAmediacorp bertemu tiga daripada graduan-graduan Melayu SIT dari kohort perintis itu.

QAMANURATIKA JAMIL - INGIN PECAH STEREOTAIP

Enam bulan sebelum beliau menamatkan pengajian di SIT dalam jurusan Kejuruteraan dalam Infrastruktur Mampan, Cik Qamanuratika Jamil sudah mendapat tawaran bekerja sebagai jurutera bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) di bawah divisyen pengurusan sistem dan kemudahan penumpang.

Qamanuratika Jamil, graduan sepenuh masa perintis SIT

Beliau akur di tengah-tengah keadaan ekonomi yang mencabar ini, peluang keemasan itu adalah hasil kerja keras dan pengalamannya menjalani Program Bersepadu Belajar dan Bekerja (IWSP) selama setahun di bawah LTA.

Cik Qamanuratika yang merupakan di antara segelintir wanita yang bekerja sebagai jurutera di divisyennya ingin memecahkan 'stereotaip' bahawa golongan wanita juga boleh menyandang jawatan dalam perkerjaan yang didominasi oleh kaum Adam.

"Pada pendapat saya setiap individu ada kemahiran mahupun kaum wanita dan kaum lelaki. Kemahiran yang mereka ada kita tak ada, boleh jadi satu satu motivasi saya untuk bekerja lebih baik," kata bekas pelajar Politeknik Singapura itu.

MUHD KHAIRUL - INGIN KETUAI PASUKAN PAKAR KESELAMATAN SIBER

Turut menjalani IWSP ialah Encik Muhammad Khairul Md Zaini yang lulus dari jurusan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT).

Muhammad Khairul Md Zaini

Bercita-cita untuk mengetuai pasukan pakar keselamatan siber satu hari nanti, beliau turut mendapat tawaran pekerjaan beberapa bulan lebih awal.

Khairul kini bekerja sebagai penggodam profesional atau 'white hat hacker'.

"Jurusan ini selaras dengan apa yang diperhatikan dalam industri ICT. Program IWSP ini bermanfaat kerana syarikat-syarikat boleh menawarkan pekerjaan sebelum kami menamatkan pengajian," kongsi Encik Khairul dengan pihak kami.

IZYATY RAHIM - INGIN IKUT JEJAK LANGKAH AYAH

Berpegang dengan prinsip menimba ilmu sepanjang hayat, Cik Izyaty Rahim - ibu kepada dua orang anak dan seorang jururawat dengan 8 tahun pengalaman muncul sebagai salah seorang daripada pelajar terbaik kohort perintis pengajian Ijazah Kejururawatan SIT-Universiti Glasgow.

"Sebagai jururawat pada masa kini ia amat penting untuk kami mempertingkat diri kami dengan ada google, adanya internet ramai pesakit-pesakit yang bijak sekarang, mereka tahu apa pilihan-pilihan untuk mereka," katanya yang kini bekerja sebagai jururawat kanan di Hospital Changi.

Namun sebenarnya Cik Izyati berkongsi niatnya untuk tampil sebagai jururawat yang 'terbaik' merupakan satu panggilan.

Beliau terpanggil menyahut pekerjaan itu seawal usia 11 tahun lagi selepas melihat bapanya menjaga ibunya yang ditimpa kemalangan dan koma selama sebulan.

Kini siswazah SIT seperti Cik Izyaty boleh terus meningkatkan kemahirannya.

Ini kerana institusi itu semalam mengumumkan bahawa mulai tahun depan, setiap alumninya diberi kredit bernilai S$2,000 yang boleh digunakan untuk mengikuti kursus pembangunan profesional di Universiti itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan