2 sepupu dipilih sebagai valedictorian di Majlis Konvokesyen RP
Faiq Faran dan sepupunya, Nasiruddin Mohd Rafiq, dinobatkan sebagai valedictorian bagi kursus masing-masing.
Bagi kedua-dua lulusan diploma itu, kejayaan tersebut bukan sekadar mencerminkan pencapaian akademik dan membanggakan keluarga.
Ia bahkan mengisahkan perjalanan penuh cabaran, ketekunan dan semangat untuk berbakti kepada masyarakat.
BANGKIT DARI KEGAGALAN: KISAH FAIQ JADI PELAJAR TERBAIK
Faiq, 21 tahun, berkongsi kepada wartawan Aqil Ezat bahawa dia pernah melalui detik sukar dalam kehidupannya.
Selepas menetap di Arab Saudi selama tiga tahun kerana tuntutan kerja bapanya, Faiq sekeluarga pulang ke Singapura untuk mendapatkan taraf pendidikan yang lebih baik.
Namun, lulusan Diploma Sains Farmaseutikal itu berdepan cabaran untuk memasuki sekolah menengah kerana tidak mempunyai sijil Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Walau bagaimanapun, kesungguhan untuk membanggakan ibu bapanya membuahkan hasil apabila diberi peluang dan diterima masuk Sekolah Menengah Naval Base.
Dia akhirnya muncul sebagai pelajar terbaik peringkat GCE ‘N’.
AKTIF DALAM KERJA SUKARELAWAN
Selain cemerlang dalam bidang akademik, Faiq turut aktif dalam kerja-kerja kesukarelawanan.
Antara penglibatannya termasuk bekerjasama dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan Persatuan Cacat Penglihatan Singapura (SAVH) untuk menganjurkan kem 'Beyond Borders' pada tahun lepas.
Acara tersebut bertujuan untuk memupuk empati, kesejahteraan mental dan sikap inklusif dalam kalangan belia.
"Saya rasa puas apabila saya menolong orang, dan ia membuka realiti tentang kehidupan dalam masyarakat," kongsi Faiq.
Faiq turut dianugerahkan Anugerah Lembaga Gabenor bagi Graduan Paling Cemerlang.
Anugerah itu diberikan kepada graduan paling cemerlang yang telah menunjukkan kecemerlangan akademik, mencapai standard tertinggi serta menghayati nilai dan prinsip yang diketengahkan oleh RP.
Memandang ke hadapan, Faiq merancang untuk melanjutkan pendidikan di United Kingdom.
Dia telah menerima beberapa tawaran daripada universiti terkemuka di sana.
"InsyaAllah, apabila saya pulang ke Singapura, saya ingin berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam. Saya ingin menjadi seorang pemimpin yang rendah hati. Pada masa yang sama, saya ingin terus melakukan perkara yang telah saya lakukan, terus aktif dalam masyarakat, membuat polisi yang menolong masyarakat," kata Faiq.
PENGALAMAN BENTUK MINAT BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN
Kisah kejayaan seumpama turut dikongsi oleh sepupunya, Nasiruddin Mohd Rafiq, yang juga dinobatkan sebagai valedictorian Sekolah Kesukanan dan Kesihatan.
Nasiruddin, 25 tahun, mengambil keputusan untuk mengambil Diploma Pengurusan Kesihatan dan Penggalakan selepas berkhidmat dalam penjagaan kesihatan semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS).
Berkhidmat sebagai seorang medik bersama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Nasiruddin terlibat dalam operasi menstabilkan keadaan pesakit dan juga menyelamatkan nyawa mereka.
Semasa di RP, dia menyertai Kelab Perkhidmatan Pembelajaran (SLC) dan Kelab Sekolah Sukan dan Kesihatan, untuk membantu golongan rentan yang terdiri daripada warga emas, pekerja hijrahan dan belia daripada pelbagai latar belakang sosio-budaya.
"Saya percaya kesihatan seseorang itu tidak bergantung sahaja kepada rawatan yang mereka terima di hospital. Namun, sokongan yang mereka raih di masyarakat juga," jelas Nasiruddin.
Dia turut mengambil bahagian dalam saringan kesihatan dianjurkan oleh Sekolah Perubatan NUS , dengan membantu menjalankan penilaian terhadap mutu tidur, tahap aktiviti fizikal dan tabiat pemakanan dalam kalangan warga emas.
Sepanjang tempoh di RP, bekas pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah itu meraih beberapa Anugerah Modul, serta dianugerahkan Biasiswa RP–Daisy Phay Foundation dan Biasiswa Endowmen Tan Eng Yoon.
Nasiruddin merancang untuk melanjutkan pendidikannya dalam bidang Fisioterapi selepas diberi tawaran oleh Institut Teknologi Singapura (SIT).
Walaupun melalui laluan berbeza, kedua-dua sepupu itu berkongsi nilai yang sama - ketabahan, rendah hati dan keinginan untuk memberi kembali kepada masyarakat.
Menariknya, mereka tidak pernah menyangka akan berkongsi pentas sebagai valedictorian.
"Jika anda bertanya saya tiga tahun yang lalu sama ada saya dapat menjangkakan detik ini akan berlaku, sudah tentu sekali saya menjawab tidak. Saya berasa amat berbesar hati atas kejayaan kami," kata Nasiruddin.
"Saya rasa gembira untuk dia dan ini menunjukkan bahawa kita masyarakat Melayu juga boleh berhadapan dan Maju sebagai satu masyarakat," kata Faiq pula.
Faiq dan Nasiruddin merupakan antara kira-kira 4,800 lulusan diploma RP tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.