Skip to main content

Nadi Kampus

2 pelajar politeknik berusia 17 tahun ini buka kafe di Sultan Gate

Anggaran Waktu Membaca:
2 pelajar politeknik berusia 17 tahun ini buka kafe di Sultan Gate

Qays (kiri) dan Aesha (kanan) mengendalikan kafe Siësta meski masih menuntut di politeknik. (Gambar: Siësta)

Diterbitkan : 10 Nov 2023 12:10PM
SINGAPURA: Sekali pandang, Siësta tidak jauh beza dengan kafe-kafe lain di Sultan Gate.

Kafe yang dibuka pada 20 Sep lalu itu juga mempunyai hiasan dalaman yang santai, lengkap dengan kerusi panjang vintaj dan meja-meja kayu.
(Gambar-gambar: Siësta)

Menu yang ditawarkan pula adalah hidangan kafe biasa seperti sandwic bakar, kentang goreng yang dihidangkan dengan pelbagai bahan lain seperti keju, pencuci mulut dan bermacam-macam minuman.

Namun, ini keunikan luar biasa Siësta: Kafe Muslim ini dikendalikan dua penuntut politeknik berusia 17 tahun, iaitu Qays Zara dan Aesha Patel!

Mereka berdua rakan baik sejak di bangku sekolah menengah. Qays kini sedang menceburi bidang Pengurusan Acara di Politeknik Republik sementara Aesha pula dalam kursus Perhubungan Media Digital di Politeknik Singapura.
Mereka akur "ia tentunya mencabar untuk mengimbangi sekolah dan perniagaan", tetapi menganggap Siësta satu projek bidang yang diminati. Waktu selepas sekolah dan hujung minggu diluangkan untuk menjalankan operasi kafe.

Qays memberitahu Mediacorp bahawa beliau menghasilkan konsep bagi Siësta bersama Megan Lim, pemilik tempat makan Overrice yang menjual makanan Mediterranean.

Ketika itu, Qays hanya seorang pelayan sambilan di Overrice.

Overrice terletak di lantai pertama 41 Sultan Gate, sementara Siësta dibuka di lantai dua bangunan milik Megan.

Megan mula berkenalan dengan Qays semasa dia mula bekerja di Overrice pada 2021.

Beliau menyifatkan Qays sebagai "seseorang yang rajin, sangat istimewa, dan sangat bijak".

Melihat potensinya, Megan memutuskan untuk memberi Qays dan Aesha peluang untuk "melihat bagaimana (mereka) boleh mengubah lantai dua bangunan menjadi konsep yang boleh dibanggakan".

Pemilik Overrice itu menjelaskan bahawa beliau "percaya betapa pentingnya mendengar (idea) belia", dan mahu "memperkasa serta memberi ruang selamat kepada mereka untuk meneroka bidang perniagaan dan menjadikannya satu kenyataan".

Menyedari dia tidak mampu menjalankan perniagaan itu sendiri, Qays mengajak teman baiknya untuk membantu. Dia percaya mereka berdua berkongsi nilai yang sama dan mempunyai "set kemahiran berbeza yang saling melengkapi satu sama lain".
Aesha di dapur. 

Walaupun dua remaja itu lazimnya menguruskan, memasak dan membersihkan kafe itu sendiri, Megan dan pasukan Overrice masih bertanggungjawab ke atas beberapa urusan seperti kewangan perniagaan.

Overrice juga "melaburkan sebahagian besar modal asal yang diperlukan untuk membuka kafe itu" walaupun dua remaja yang mengendalikannya, turut melabur simpanan masing-masing.

PENGALAMAN KENDALI KAFE PADA USIA 17 TAHUN

Mengendalikan perniagaan pada usia 17 tahun bukanlah sesuatu yang mudah - ia bermakna bekerja sepanjang hari, tidak dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan lain mahupun sekolah, di samping kekurangan waktu lapang.
Jalan keluarnya, menurut Qays, adalah "perlu bijak menguruskan masa". Mujur bagi kedua-dua remaja perempuan itu, kursus mereka tidak mempunyai begitu banyak peperiksaan.

Qays menguruskan kafe secara solo pada hari biasa, dan ini menurutnya boleh dilakukan, walaupun tidak dapat melaksanakannya sepenuhnya.

"Saya belajar di Politeknik Republik, yang terletak di Woodlands, dan saya tinggal di daerah Timur. Jadi setiap hari saya perlu bangun awal untuk ke sekolah. Selepas itu saya bergegas ke sini untuk membuka kedai," jelasnya sambil menambah bahawa mereka akan mempertimbangkan untuk menggajikan pekerja sambilan pada masa akan datang.

Pun begitu, kedua-dua remaja itu berkata pengalaman mereka sangat berbaloi. "Ia satu kelebihan buat kita kerana kita dapat menerapkan apa yang dipelajari di sekolah, seperti mereka bentuk sehingga membuka Siësta," kata Aesha.

Sejauh ini, sambutan kafe itu dikatakan 'boleh tahan'.
Malah, menurut Qays, "jarang sekali mereka tidak mempunyai pelanggan dan mereka sangat bersyukur".

Dua rakan baik itu juga berkongsi kebanyakan pelanggan mereka mendapat tahu tentang Siësta menerusi video TikTok mereka, yang sudah mendapat lebih 28,000 tontonan.
Siësta terletak di Tingkat 2, 41 Sultan Gate, S198489. Dibuka Rabu-Jumaat 5.00 petang hingga 9.00 malam, Sabtu 12.00 tengah hari hingga 9.00 malam, Ahad 12.00 tengah hari hingga 6.00 petang.
Sumber : 8 Days/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita