Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

2 bekas pelajar Madrasah Irsyad sesuaikan diri di NUS High, mahu jadi pakar matematik & sains

Anggaran Waktu Membaca:
 2 bekas pelajar Madrasah Irsyad sesuaikan diri di NUS High, mahu jadi pakar matematik & sains

Dzuizz (kiri), Arshad (kanan) (Gambar kiriman: Arshad)

BERITAmediacorp: Dua bekas pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Ahmad Dzuizz Annajib dan Muhammad Arshad Ismail Packir Mohamed sudah memulakan pengajian sekolah menengah di Sekolah Matematik dan Sains NUS High sejak Januari 2023.

Mereka merupakan dua pelajar pertama dari madrasah yang berjaya memasuki NUS High melalui Skim Kemasukan Langsung (DSA). Menerusi skim itu, Dzuizz dan Arshad diuji pada beberapa peringkat sebelum diterima masuk ke Sekolah Matematik dan Sains.

Proses kemasukan langsung ke Sekolah Matematik dan Sains memerlukan para pelajar untuk menjalani beberapa peringkat saringan. Seramai 1,500 pelajar yang mencuba nasib namun hanya 170 daripada mereka yang diterima masuk.

Tahap pemahaman mereka berkenaan mata pelajaran Matematik dan Sains dinilai melalui ujian dan temu duga.

PELUANG DALAMI MATEMATIK, SAINS DENGAN LEBIH MENYELURUH

Sejak di bangku sekolah rendah, Sekolah Matematik dan Sains merupakan antara sekolah idaman bagi Dzuizz dan Arshad untuk melanjutkan pelajaran mereka. Mereka berdua berminat mendalami ilmu Matematik dan Sains secara menyeluruh.
Sebagai seorang pencinta matematik dan sains komputer, Dzuizz rancak menyertai pelbagai pertandingan sejak Darjah 2.

Antara pertandingan yang pernah beliau sertai ialah pertandingan informatik dan sains komputer antarabangsa (BEBRAS) dan Olympiad Matematik sekolah Singapura dan Asia (SASMO). Dzuizz meraih pencapaian emas bagi kedua-dua pertandingan tersebut.

Dzuizz melihat peluangnya untuk belajar di NUS High sebagai satu pendedahan kepada ilmu matematik dan sains yang komprehensif. Baginya, kurikulum yang ditawarkan bersifat intensif dan padat dengan pengisian.

Peralihan dari madrasah ke NUS High juga menyedarkan Dzuizz dan Arshad tentang sistem pembelajaran yang berbeza. Arshad, teman seperjuangan Dzuizz dari Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah berkata:

“Disebabkan tiada subjek ukhrawi di sini (NUS High), kami lebih tertumpu kepada mata pelajaran akademik. Lebih banyak masa yang difokuskan kepada mata pelajaran akademik seperti Matematik dan Sains."

CABARAN BERANJAK DARI MADRASAH KE NUS HIGH

Pada awalnya, Dzuizz dan Arshad mengalami kesukaran untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut tentang Skim Kemasukan Langsung (DSA).
Mereka kurang pengetahuan tentang jangkaan dan ujian yang bakal diadakan. Mentelah lagi, mereka merupakan dua pelajar pertama dari madrasah untuk menjalani skim tersebut, maka mereka kekurangan tempat rujukan untuk mempersiapkan diri.

Mujur bagi mereka, guru matematik dari Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Cikgu Rosmawati Ahmad sudi memberikan pencerahan mengenai Skim Kemasukan Langsung itu.

“Guru Matematik saya, Puan Rosmawati Ahmad sudi berkongsi pengalamannya berkaitan dengan skim ini. Ini sedikit sebanyak membantu saya mempersiapkan diri mengatasi setiap peringkat ujian.

"Bukan itu sahaja, beliau juga menasihati saya tentang bagaimana boleh saya uruskan ibadah solat ketika menjalani pelajaran di NUS High. Ini disebabkan di NUS High, kami dikehendaki memakai seluar tiga suku dan kemudahan untuk solat tidak seperti di Madrasah” ujar Arshad.
Dzuizz dan Arshad sewaktu baru bermula pengajian di NUS High.
Dzuizz dan Arshad berkongsi bahawa adakalanya masa kurang menyebelahi mereka sewaktu mengerjakan solat Jumaat. Seusai mengerjakan solat Jumaat, mereka harus kembali ke sekolah pada jam 2.00 petang untuk meneruskan pelajaran. Kadangkala mereka terlewat sedikit lantaran jadual solat dan pengangkutan yang tidak menentu.

Begitu juga halnya ketika dua pelajar ini ingin mengerjakan ibadah solat harian mereka di sekolah mereka sekarang. Oleh kerana tiada jadual solat yang ditentukan seperti di madrasah, mereka terpaksa mencari ruang masa yang sesuai antara waktu kelas ataupun menggabungkan waktu solat mereka pada waktu yang tertentu.

Namun, Dzuizz dan Arshad tetap bersyukur kerana guru-guru mereka di NUS High memahami keadaan dan keperluan mereka.

Dalam mendepani rintangan untuk menyesuaikan diri, Dzuizz dan Arshad tidak lepas meraih manfaat daripada persekitaran yang baru.

“Di NUS High, saya didedahkan kepada rakan-rakan yang berlainan bangsa, budaya dan agama. Hal ini mengizinkan saya untuk mengenali dan menghargai budaya yang pelbagai dan berbeza,” kongsi Dzuizz tentang persekitaran berlainan di sekolah yang baru.

IMBANGI ASPEK UKHRAWI DI LUAR SEKITARAN MADRASAH

Meskipun sudah meninggalkan madrasah, Dzuizz dan Arshad masih meletakkan kepentingan yang tinggi untuk mendalami ilmu-ilmu agama.

Berlainan daripada madrasah, kini mereka tidak disajikan dengan pelajaran ukhrawi secara formal. Menyedari akan hakikat ini, usaha tambahan daripada mereka diperlukan untuk memastikan penguasaan ilmu ukhrawi tetap terjaga.

Bagi Arshad, beliau memastikan bahawa setiap malam beliau tidak akan lepas menelaah kumpulan Hadith-hadith dan mengaji al-Quran. Beliau juga kerap melayari aplikasi Duolingo untuk mengulang kaji dan mengamalkan penggunaan Bahasa Arab. Ini demi memastikan bahawa asas Bahasa Arabnya kekal kukuh dan boleh dipertingkat.

Dzuizz juga tidak terkecuali. Ayah kepada Dzuizz, Encik Ainun Najib sedang giat mencari mana-mana perkhidmatan asatizah yang menawarkan kelas tuisyen Bahasa Arab bagi anaknya.

Bagi meneruskan tradisi keilmuan agama, Encik Ainun Najib juga sudah mendaftarkan anaknya bagi pembelajaran jarak jauh dengan salah satu pesantren di Jakarta.
Dzuizz bersama ibu bapanya. Encik Ainun Najib (kanan)

IMPIAN JADI ILMUWAN DEMI MASLAHAT MASYARAKAT 

Dengan menuntut di NUS High, Dzuizz dan Arshad kini dapat melangkah lebih dekat untuk menggapai impian mereka.

Dzuizz bercita-cita menjadi ahli sains komputer atau pengatur cara komputer yang terbaik di dunia. Dzuizz berharap agar beliau dapat menguasai kemahiran yang berkaitan dengan bidang ini. Beliau juga berharap dengan kemahiran sedemikian, beliau dapat menyumbang dan membawa manfaat kepada seluruh dunia.

Arshad pula ingin menguasai mata pelajaran matematik dan sains dan bercita-cita untuk menjadi seorang saintis yang pakar dalam bidang kimia. Yang lebih menarik lagi, Arshad berhasrat untuk membuktikan kaitan antara sains dengan agama Islam. Beliau percaya ini merupakan salah satu cara beliau boleh berdakwah dan mendidik masyarakat.

MENGENAI PENULIS:
Amirul Hakim, ialah mahasiswa Singapura yang menuntut dalam jurusan Pengajian Melayu di Universiti Malaya (UM).

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan