Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

2 anak muda ini lebih hargai kehidupan di SG ketika jauh di perantauan

Anggaran Waktu Membaca:
2 anak muda ini lebih hargai kehidupan di SG ketika jauh di perantauan

Cik Naadhirah Razak (kiri) & Dr Nurul Hana Norizan (kanan)

SINGAPURA: Setiap kali menjelang Hari Kebangsaan, suasana meriah di sekitar pertunjukan udara dan bunga api, di samping dendangan lagu “Home” yang begitu dekat di hati warga Singapura, akan menyuntik rasa rindu Naadhirah Razak kepada tanah air.

Manakan tidak, beliau berada jauh di perantauan.

Perasaan itu membuatkan hati gadis berusia 27 tahun, yang sedang melanjutkan pengajian selama dua tahun di peringkat Sarjana dalam Patologi Pertuturan di Universiti Curtin, Perth, tidak sabar untuk kembali ke kota Singa dan ke pangkuan keluarga tercinta.

Selain Cik Naadhirah, Dr Nurul Hana Norizan juga sedang menghitung hari sebelum kembali ke kota Singa selepas berada di New Zealand selama genap enam tahun.

Doktor pergigian warga Singapura yang berusia 26 tahun itu, berjaya menggenggam segulung ijazah dari Universiti Otago pada 2021. Kini, beliau sedang bertugas di sebuah klinik pergigian tempatan di sana untuk menimba pengalaman sebelum kembali ke Singapura.

PENGALAMAN DI PERANTAUAN SUNTIK SEMANGAT PATRIOTIK

Biar jauh di perantauan, Singapura tetap berada dalam hati mereka.

Kedua-dua anak muda itu berkongsi bahawa pengalaman mereka di perantauan sedikit sebanyak membangkitkan semangat patriotik dalam diri mereka.

"Hampir kesemua pesakit (yang saya temui), yang pernah bercuti di Singapura, menceritakan tentang kebersihan yang terjaga, perancangan kota yang rapi dan kecantikan lokasi seperti Marina Bay Sands, Taman di Pesisiran serta Jewel @ Changi. Pengalaman & pujian mereka selalu membuat saya tersenyum di sebalik pelitup muka saya," kata Dr Hana kepada BERITA Mediacorp.
 
Gambar: Nurul Hana Norizan
Demi mengubati kerinduaan kepada Singapura, Cik Naadhirah pula kerap mengunjungi restoran yang dimiliki orang berbangsa Melayu atau warga Singapura supaya beliau dapat berasa “seperti telah pulang ke tanah air”.

Beliau turut menyedari ia amatlah mudah untuk mengenal pasti warga Singapura di mana-mana saja di Perth, terutama sekali apabila mendengar seseorang itu berbicara dalam 'loghat' tempatan, iaitu Singlish. Baginya, aspek seumpama itu yang membuat Cik Naadhirah bangga akan kekayaan identiti Singapura.

LEBIH HARGAI KEHIDUPAN DI SG

Bak pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.

Dr Hana dan Cik Nadhirah akur mereka lebih menghargai kehidupan di Singapura sejak mula menetap di luar negara, khususnya kemudahan pengangkutan awam yang ditawarkan.

"Saya hargai bagaimana perkhidmatan pengangkutan awam kita beroperasi sehingga lewat malam dan sangat boleh dipercayai. Selain itu, terdapat sebilangan tempat yang tidak boleh diakses melalui bas atau kereta api. Jadi sebelum saya ada kereta di sini, terdapat banyak tempat yang saya tidak boleh terokai dengan pengangkutan awam," ujar Cik Naadhirah, yang bercita-cita menjadi ahli terapi pertuturan kelak.

Dr Hana juga berpendapat ia seolah-olah mustahil untuk tidak mempunyai kenderaan masing-masing di luar negara, terutama sekali bagi seseorang yang mempunyai tuntutan pekerjaan sepertinya. Ini kerana beliau kadang-kala dikehendaki untuk ke bandar lain untuk menghadiri kursus atau memenuhi urusan pekerjaannya.

Selain kemudahan pengangkutan awam, mereka juga sedar mereka lebih menghargai rentak kehidupan di Singapura.

"Di Alexandra, di mana saya sedang menetap, tiada pusat beli-belah. Hampir semua perniagaan tutup seawal jam 5.00 petang," ujar Dr Hana.

Cik Naadhirah pula menarik perhatian bahawa suasana di sana amat sunyi selepas pukul 5.00 petang sekali gus membuatnya merindui kegiatan bersiar-siar pada sebelah malam selepas pulang dari kerja atau sekolah di Singapura.

HARAPAN UNTUK SUMBANG KEMBALI KEPADA MASYARAKAT

Ditanya sama ada beliau menanam hasrat untuk menetap di Perth secara tetap setelah tamat pengajiannya tahun ini, Cik Naadhirah tidak ragu-ragu mengatakan beliau merancang untuk kembali ke tanah air.
 
Gambar: Naadhirah Razak
Ini memandangkan beliau menyedari terdapat permintaan tinggi bagi lebih ramai ahli terapi pertuturan di Singapura. Bahkan, beliau berbesar hati untuk menyumbang kepakaranya kepada masyarakat tempatan kelak.

Dr Hana turut menyimpan niat yang serupa untuk kembali ke Singapura tidak lama lagi dan berkhidmat khususnya untuk masyarakat tempatan.

"Sudah tiba masanya, saya menjadi doktor pergigian di Singapura dan memenuhi keperluan rawatan pergigian bagi masyarakat Singapura pula."
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan