Skip to main content

Iklan

Iklan

Muhammad Diroy Noordin catat rekod kebangsaan baru bagi acara lontar peluru F40

Atlit negara, Muhammad Diroy Noordin berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi acara melontar peluru F40 di Sukan Paralimpik Tokyo pada Ahad (29 Ogos) dengan lontaran sejauh 9.92 meter.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Aug 2021 06:21PM Dikemas Kini : 29 Aug 2021 09:10PM

SINGAPURA: Atlit negara, Muhammad Diroy Noordin berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi acara melontar peluru F40 di Sukan Paralimpik Tokyo pada Ahad (29 Ogos) dengan lontaran sejauh 9.92 meter.

Diroy, yang merupakan pembawa bendera Singapura di upacara perasmian Sukan Paralimpik Tokyo, berjaya mengatasi rekod yang dicatatkan sebelum ini iaitu 9.78 meter untuk menduduki tempat kelapan daripada sembilan pesaing yang bertanding dalam acara tersebut.

Acara itu dimenangi oleh Denis Gnezdilov dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia yang memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 11.16 meter.

Juara bertahan Garrah Tnaiash dari Iraq menduduki tempat kedua kali ini, 1 sentimeter di belakang Gnezdilov, manakala atlit Portugal Miguel Monteiro merangkul pingat gangsa dengan lontaran sejauh 10.76 meter.

Acara F40 dibuka kepada para atlit yang berbadan kecil dan rendah, menurut Atletik Para Dunia.

Temasya kali ini merupakan penampilan kedua Diroy di Sukan Paralimpik. Markah yang diraih kali ini turut merupakan satu kemajuan yang ketara berbanding lontaran terbaiknya di Sukan Paralimpik Rio 2016, iaitu sejauh 7.29 meter yang meletakkannya di tempat kesembilan daripada 10 atlit yang bertanding ketika itu.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong yang dalam perjalanan ke Tokyo, turut meraikan pencapaian rekod terbaru Diroy dalam catatan Facebooknya.

"Olahragawan Terbaik 2019, Muhammad Diroy Noordin, melakukan yang terbaik dalam peringkat akhir acara melontar peluru F40 lelaki pada pagi tadi untuk meraih lontaran sejauh 9.92 meter - satu rekod kebangsaan yang baru! Lontaran yang sangat baik oleh Diroy!" katanya.

"Diroy mungkin kelihatan pemalu dan lemah lembut tetapi mempunyai impian dan cita-cita besar - untuk membuat Singapura bangga dan mengibarkan bendera kita di Sukan Paralimpik."

Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC) juga mengucapkan tahniah kepada atlit berusia 29 tahun itu dan pasukannya.

"Tahniah Diroy! Terima kasih kepada Jurulatih Muhamad Hosni Bin Muhamad dan pasukannya atas keputusan yang membanggakan ini!" menurut SDSC dalam catatan Facebooknya.

"Ia menjadi bukti kepada kerja keras dan dedikasi semua orang untuk terus memperbaiki diri. Teruskan usaha anda dan melontar lebih jauh lagi!"

Sebagai rangkaian Paralimpik Singapura, Mediacorp akan membawa liputan meluas Team Singapore di Paralimpik Tokyo 2020. Lungsuri laman mediacorp.sg/tokyo2020 untuk butiran lanjut.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan