Mufti sampaikan takziah atas kematian 2 pesakit COVID-19
Para pemimpin agama berdiri bersama bersatu-padu dalam memimpin pengikut masing-masing untuk melakukan ibadah dalam keadaan selamat dan secara bertanggungjawab, tekan Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir pada Sabtu (21 Mac).
Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir.
SINGAPURA: Para pemimpin agama berdiri bersama bersatu-padu dalam memimpin pengikut masing-masing untuk melakukan ibadah dalam keadaan selamat dan secara bertanggungjawab, tekan Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir pada Sabtu (21 Mac).
Beliau menambah, mereka berperanan memastikan anggota masyarakat mengambil langkah-langkah berjaga-jaga sewajarnya demi melindungi jemaah atau para pengikut, ahli keluarga dan masyarakat secara meluas.
Dr Nazirudin berkata demikian dalam satu catatan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga dua mangsa yang meninggal dunia hari ini akibat COVID-19.
"Dengan dukacita kami menerima khabar pemergian dua pesakit COVID-19 pagi ini," tulis beliau.
"Saya berdoa agar para anggota keluarga mangsa serta para pegawai penjagaan kesihatan terus tabah dan kuatkan semangat."
Salah seorang pesakit yang meninggal dunia merupakan wanita warga Singapura berusia 75 tahun. Beliau juga adalah anggota gereja The Life Church and Missions.
Seorang lagi, lelaki warga Indonesia berusia 64 tahun.
"KEHILANGAN TURUT DIRASAI"
Dalam catatan hari ini, Dr Nazirudin juga menyampaikan takziah kepada pemimpin dan anggota gereja The Life Church and Missions.
"Saya juga ingin menyampaikan takziah yang mendalam kepada para pemimpin dan anggota The Life Church and Missions Singapore. Sebagai masyarat beragama, kami bersatu dengan anda dalam memerangi COVID-19, dan kehilangan yang anda lalui turut kami rasai," tulis Dr Nazirudin.
"Sebagai para pemimpin agama, kami bersatu-padu dalam memberi panduan kepada masyarakat masing-masing untuk menjalankanuibadah secara selamat dan bertanggungjawab. Ini termasuk memastikan kita mengambil setiap langkah waspada sewajarnya, seperti mengekalkan jarak selamat demi melindungi para jemaah atau pengikut, keluarga dan masyarakat secara meluas."
"Semoga Tuhan menguatkan semangat kita dan menganugerahkan kita kearifan dalam membimbing masyarakat sehingga selamat."
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.