MOM perkenal pendekatan kuarantin COVID-19 lebih tertumpu untuk dormitori pekerja asing
Pekerja asing yang tinggal di dormitori kini akan menjalani pendekatan kuarantin yang lebih tertumpu untuk mencegah penularan jangkitan COVID-19. Ia adalah sebahagian usaha untuk mengurangkan gangguan pada kerja dan agar langkah-langkah itu lebih berdaya tahan.
(Gambar: MOM)
SINGAPURA: Pekerja asing yang tinggal di dormitori kini akan menjalani pendekatan kuarantin yang lebih tertumpu untuk mencegah penularan jangkitan COVID-19. Ia adalah sebahagian usaha untuk mengurangkan gangguan pada kerja dan agar langkah-langkah itu lebih berdaya tahan.
Pekerja kini mungkin dikuarantin ikut aras bangunan atau seksyen dan bukan lagi berdasarkan seluruh blok, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan media pada Jumaat (25 Sep).
Kementerian itu turut menyatakan bahawa pekerja yang sudah pulih dan berada dalam tempoh 150 hari sejak dijangkiti, tidak akan dikuarantin.
Pendekatan yang lebih tertumpu itu menyusuli satu semakan semula yang dilakukan MOM dan Kementerian Kesihatan (MOH) ke atas dormitori dibina khas, tapak sementara, kilang yang diubah menjadi dormitori dan kuarters binaan sementara.
Menurut MOM, kedua-dua kementerian itu juga sudah mengambil kira bahawa banyak dormitori sudah menguatkuasakan langkah-langkah penginapan lebih ketat untuk mengehadkan pergaulan antara para penghuni.
Sebelum ini, apabila kes-kes baru COVID-19 dikesan, pekerja yang tinggal di blok sama akan dikuarantin: mereka yang tidak dijangkiti sebelum ini, atau mereka yang sudah pulih dan 120 hari sejak mereka dijangkiti.
Dalam kenyataan media itu, MOM memberikan contoh berikut berhubung pendekatan tertumpu yang baru itu.
Di dormitori Westlite Woodlands misalnya, menyusuli pengesanan satu jangkitan baru menerusi ujian rutin berjadual, kenalan rapat individu yang dijangkiti yang tinggal di blok sama menjalani kuarantin. Di bawah pendekatan sebelumnya, ini akan menjejas kesemua 318 pekerja di blok tersebut.
Dengan pendekatan baru itu, hanya 68 pekerja dikuarantin disebabkan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan di tempat tinggal, untuk memastikan pengasingan yang rapi, supaya enam tingkat yang lain tidak terjejas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.