Skip to main content

Model Gaji Progresif diperluas ke lebih banyak sektor untuk bantu pekerja bergaji rendah

Model Gaji Progresif akan diperluas ke lebih banyak sektor, bermula dengan sektor runcit pada tahun depan dan kemudian sektor pengurusan sisa dan khidmat makanan. Demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (29 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Model Gaji Progresif diperluas ke lebih banyak sektor untuk bantu pekerja bergaji rendah

Pekerja pejabat di sebuah jambatan bawah tanah di daerah perniagaan pusat Singapura pada 29 April 2021. (Gambar fail: Calvin Oh)

Diterbitkan : 29 Aug 2021 10:16PM Dikemas Kini : 29 Aug 2021 10:27PM

SINGAPURA: Model Gaji Progresif akan diperluas ke lebih banyak sektor, bermula dengan sektor runcit pada tahun depan dan kemudian sektor pengurusan sisa dan khidmat makanan.

Demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (29 Ogos).

Ia juga akan merangkumi pekerjaan tertentu dari semua sektor, bermula dengan pembantu pentadbiran dan pemandu.

Buat masa ini, Model Gaji Progresif meliputi pekerja pembersihan, pengawal keselamatan, pekerja landskap dan pekerja penyenggaraan lif.

Ia merupakan antara tiga saranan dibuat kumpulan kerja tiga pihak untuk membantu pekerja bergaji rendah. Lagi dua saranan melibatkan syarikat-syarikat yang menggajikan pekerja hijrahan agar membayar semua pekerja tempatan mereka gaji minimum sekurang-kurangnya S$1,400 dan memperkenalkan Tanda Gaji Progresif.

Pemerintah menerima ketiga-tiga saranan itu, kata Encik Lee dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan.

"Semasa COVID-19, ramai pekerja bergaji rendah bertugas di barisan hadapan. Dan rakyat Singapura melihat peri pentingnya pekerjaan-pekerjaan seperti pembersihan, penghantaran makanan dan keselamatan. Ini menambah rasa hormat dan penghargaan kita terhadap golongan pekerja berkenaan," katanya.

Kumpulan Kerja Tiga Pihak yang dipengerusikan Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad, dilancarkan pada Oktober tahun lalu.

Kumpulan kerja itu dibentuk bagi melakarkan langkah-langkah untuk menangani isu berhubung gaji dan sekitaran di tempat kerja bagi pekerja bergaji rendah. Ia melibatkan anggota Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF).

Di bawah saranan kedua, syarikat-syarikat menggajikan pekerja hijrahan dikehendaki membayar semua pekerja tempatan sekurang-kurangnya gaji kelayakan tempatan. Buat masa ini, jumlahnya ialah S$1,400 namun ia akan disesuaikan dari semasa ke semasa, kata Encik Lee.

SKIM DAYA KERJA

Pemerintah akan meningkatkan sumbangannya kepada Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja yang kini berjumlah S$850 juta setahun menjadi S$1.1 bilion dalam tempoh dua tahun.

"Dengan kenaikan itu membolehkan kami untuk menambah bayaran kepada semua penerima Skim Daya Kerja dan membantu golongan pekerja bergaji rendah lebih muda dengan sumbangan dimulakan lebih awal, pada usia 30 tahun berbanding 35 tahun sekarang," kata Encik Lee.

Hampir setengah juta pekerja kini meraih manfaat daripada skim tersebut.

Model Gaji Progresif yang diperluas dan syarat-syarat lebih ketat bagi gaji kelayakan tempatan akan meliputi lapan daripada 10 pekerja bergaji rendah, kata Encik Lee.

"Dan jika kita masukkan tambahan Skim Daya Kerja, hampir semua pekerja bergaji rendah boleh menjangkakan pendapatan lebih tinggi dalam masa dua tahun akan datang."

Melalui skim tersebut, pemerintah memberi tokokan kepada gaji golongan pekerja berpendapatan rendah menerusi wang tunai dan sumbangan CPF untuk membantu mereka berjimat bagi perdsaraan. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita