Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Zon bebas Muslim' didakwa bertambah banyak di Myanmar

Masyarakat Islam di seluruh Myanmar turut dikenakan penindasan dalam bentuk lain, termasuk pengwujudan ‘zon bebas Muslim’.

Anggaran Waktu Membaca:
'Zon bebas Muslim' didakwa bertambah banyak di Myanmar

Para pelarian Rohingya dalam sebuah trak di lebuh raya. (Gambar: AFP/Jasmin Rumi)

Diterbitkan : 11 Sep 2017 12:06AM Dikemas Kini : 11 Sep 2017 12:08AM

BANGKOK: Ketika beribu-ribu orang daripada etnik Rohingya melarikan diri dari wilayah Rakhine untuk menyelamatkan diri daripada keganasan, masyarakat Islam di seluruh Myanmar turut dikenakan penindasan dalam bentuk lain, termasuk pengwujudan ‘zon bebas Muslim’.

Dalam laporan yang diterbitkan Burma Human Rights Network (BHRN), pertubuhan bebas itu mendakwa sejak keganasan tercetus pada 2012, jumlah ‘zon bebas Muslim' semakin meningkat di negara itu.

"BHRN telah mendokumentasi kewujudan sekurang-kurangnya 21 buah kampung di seluruh negara apabila penduduk setempat, dengan kebenaran pihak berkuasa, mendirikan papan tanda amaran kepada masyarakat Islam supaya tidak memasukinya (zon bebas Muslim)," kata pengasas dan pengarah eksekutif pertubuhan itu, Kyaw Win, ketika membentangkan laporan BHRN di sini baru-baru ini.

TANGGAPAN MASYARAKAT ISLAM LUNTURKAN KEKUATAN BUDDHISME

Sebelum tahun 2012, terdapat beberapa buah bandar di Myanmar yang menguatkuasakan larangan khusus kepada masyarakat Islam, iaitu wilayah Rakhine dan wilayah Kayin, tetapi jumlah itu semakin meningkat di seluruh negara sebagai respons kepada kisah yang menggambarkan komuniti itu sebagai suatu ancaman.

Keganasan pada 2012, menurut laporan itu, mencetuskan peningkatan usaha di kalangan nasionalis Buddha untuk menentukan siapa yang berasal dari Burma (Myanmar) dan siapa yang tidak.

"Pengusiran masyarakat Islam daripada perkampungan Buddha kelihatan seperti didorong oleh tanggapan bahawa kehadiran masyarakat Islam, di dalam negara secara keseluruhan dan di dalam persekitaran setempat, melunturkan kekuatan Buddhisme dan oleh itu merupakan ancaman,” menurut laporan itu.

TIDAK BOLEH BERMALAM, BELI, SEWA RUMAH DI ZON BEBAS MUSLIM

Dalam laporan berkenaan, BHRN turut menyertakan gambar zon bebas Muslim seperti di kawasan perbandaran Oak Tadar Block Yatsauk di wilayah Shan dengan papan tanda yang memberi amaran kepada masyarakat Islam supaya tidak bermalam, membeli atau menyewa hartanah dan mengahwini penduduk tempatan, di negeri berkenaan.

Laporan itu turut menunjukkan gambar papan tanda memaparkan amaran dan larangan serupa kepada masyarakat Islam, antaranya di perkampungan Botaesu, kawasan perbandaran East Yaytarshae di Pegu, Kyike Htaw Waterfall Gates di negeri Karen, dan kawasan perbandaran Shwe Nyaung serta Taunggyi di Negeri Shan.

PAPAN TANDA ANTI-MUSLIM MUNCUL DI SELURUH MYANMAR

Papan tanda dengan slogan anti-Muslim turut muncul di seluruh Myanmar, dengan amaran, "jangan beri Harimau makan dan jangan beri ruang kepada Kalar (Muslim). Jika kamu beri Harimau makan, ia akan memakan kamu."

Menurut BHRN, kempen peringkat akar umbi di Myanmar untuk menjarakkan penganut Buddha dan Islam semakin memuncak manakala kerajaan pula gagal bertindak.

Laporan itu disediakan berdasarkan lebih 350 temu bual yang dikendalikan oleh BHRN bagi tempoh lapan bulan, dengan keterangan dikumpul daripada individu di lebih 46 bandar dan kampung di seluruh negara, dari wilayah Karen di timur sehingga ke wilayah Rakhine di barat, dan di seluruh bahagian tengah Myanmar.

Laporan itu juga berdasarkan keterangan yang dikumpul BHRN sejak Mac 2016.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan