Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah atas 45 tuduhan

Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi, 65 tahun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas 45 pertuduhan pada Jumaat (19 Okt) melibatkan RM144 juta (S$47.7 juta)

Anggaran Waktu Membaca:
Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah atas 45 tuduhan

Mantan TPM Malaysia Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 19 Okt (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Oct 2018 11:38AM Dikemas Kini : 19 Oct 2018 11:46AM

KUALA LUMPUR: Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi, 65 tahun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas 45 pertuduhan pada Jumaat (19 Okt) melibatkan RM144 juta (S$47.7 juta)

Ia membabitkan 10 pertuduhan pecah amanah wang milik Yayasan Akal Budi, yang beliau menjadi pengerusi, dan lapan pertuduhan rasuah berjumlah RM42 juta (S$13.9 juta).

Beliau juga dikenakan 27 pertuduhan membabitkan diri dalam menerima dan memindahkan wang haram di bawah undang-undang anti-pengubahan wang haram. Pertuduhan tersebut melibatkan wang berjumlah RM72 juta (S$23.8 juta), menurut agensi berita BERNAMA.

Mahkamah membenarkannya diikat jamin RM2 juta (S$663,000) dan dibayar secara berperingkat.

Mahkamah memerintahkan beliau membayar jaminan sebanyak RM1 juta (S$330,000) hari ini manakala bakinya sebelum atau pada 26 Okt.

Mahkamah juga menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Encik Zahid diarah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mantan perdana menteri Najib Razak turut hadir di mahkamah bagi memberikan sokongan kepada mantan timbalannya.

Encik Ahmad Zahid mengetuai pihak pembangkang selaku presiden UMNO yang sebelum ini menerajui kerajaan Malaysia selama 60 tahun sebelum kalah pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14) pada Mei.

Beliau dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 8.15 pagi dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Encik Ahmad Zahid kelihatan tenang dan sempat melambaikan tangan kepada orang awam dan para wartawan sedang beliau dibawa masuk ke dalam bangunan.

Beliau diberkas pada 3.15 petang pada Khamis di pejabat SPRM, selepas memberi keterangan bagi siasatan berhubung penyelewengan wang Yayasan.

Agensi antirasuah itu dalam satu kenyataan selepas penangkapan Encik Ahmad Zahid menyatakan beliau dihadapkan pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Media tempatan pula sebelum ini melaporkan bahawa pertuduhan yang dihadapi Encik Ahmad Zahid adalah berhubung penyelewengan dana Yayasan Akal Budi berjumlah sekitar RM800,000 (S$264,850) dana yayasan untuk membayar hutang kad kredit beliau dan isterinya.

Beliau menyangkal semua dakwaan sambil menegaskan ia berlaku kerana kesilapan pegawainya dan sudah dibayar balik.

Sumber : CNA/Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan