Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Yayasan Korea Selatan tarik balik anugerah bagi Aung San Suu Kyi

Salah satu kumpulan hak asasi terbesar di Korea Selatan akan menarik balik anugerah yang diberikan pada 2004 kepada pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi kerana beliau "tidak ambil endah" terhadap kekejaman ke atas kaum minoriti Rohingya, menurut para penganjur anugerah itu pada Selasa (18 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Yayasan Korea Selatan tarik balik anugerah bagi Aung San Suu Kyi

Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi. (Gambar: REUTERS/Stringer)

Diterbitkan : 18 Dec 2018 04:53PM Dikemas Kini : 18 Dec 2018 04:55PM

SEOUL: Salah satu kumpulan hak asasi terbesar di Korea Selatan akan menarik balik anugerah yang diberikan pada 2004 kepada pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi kerana beliau "tidak ambil endah" terhadap kekejaman ke atas kaum minoriti Rohingya, menurut para penganjur anugerah itu pada Selasa (18 Dis).

Aung San Suu Kyi pada ketika itu tidak dapat menerima anugerah hak asasi Gwangju kerana diletakkan di bawah tahanan dalam rumah oleh pemerintah tentera.

Parti politik beliau sejak itu mengambil alih jawatan di Myanmar dan pemenang Anugerah Keamanan Nobel itu pula menjawat gelaran Kaunselor Negara. Namun beliau yang dahulu dijulang sebagai pejuang demokrasi kini dituduh sebagi tidak bersimpati atau bersubahat dengan nasib warga Rohingya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa masyarakat minoriti Muslim itu terus menjadi sasaran "pembunuhan beramai-ramai berterusan".

"Sifat beliau yang tidak mengambil endah terhadap kekejaman yang berlaku ke atas kaum Rohingya adalah bercanggah dengan nilai-nilai anugerah ini - melindungi dan memperjuang hak asasi," jurucakap Yayasan Peringatan Mei 18 Cho Jin-tae memberitahu AFP.

Lantaran itu lembaga yayasan memutuskan pada Isnin (17 Dis) untuk menarik balik anugerah Cik Suu Kyi, tambah beliau.

Yayasan tersebut ditubuhkan pada 1994 untuk memperingati pemberontakan prodemokrasi 1980 di Gwangju, yang berakhir dengan lebih 200 orang terkorban atau cedera.

Bulan lalu, Amnesty International menarik balik anugerah berprestij Anugerah Duta Kesedaran daripada Aung San Suu Kyi kerana beliau dikatakan tidak mengambil endah terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas masyarakat Rohingya.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan