Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

WhatsApp cuba kekang penyiaran berita palsu jelang pilihan raya Pakistan

Jutaan orang menggunakan WhatsApp di negara jiran Pakistan di mana khabar angin, maklumat palsu dan teori konspirasi dihebahkan secara meluas.

Anggaran Waktu Membaca:
WhatsApp cuba kekang penyiaran berita palsu jelang pilihan raya Pakistan

Logo WhatsApp. (Gambar: AFP/Yasuyoshi Chiba)

Diterbitkan : 19 Jul 2018 11:07AM Dikemas Kini : 19 Jul 2018 11:12AM

ISLAMABAD: Khidmat kiriman mesej popular Whatsapp memulakan kempen publisiti selama seminggu di Pakistan hari ini (18 Jul) yang menawarkan tip-tip bagi mengenal pasti berita palsu, beberapa hari sebelum Pakistan mengadakan pilihan raya umum.

"Sama-sama kita boleh membanteras maklumat palsu," menurut satu iklan yang diterbitkan Dawn, akhbar bahasa Inggeris utama di Pakistan. Iklan itu menyenaraikan sepuluh tip bagi membezakan khabar angin daripada fakta.

"Banyak mesej yang bersifat tipu helah ataupun berita palsu mempunyai kesalahan ejaan. Carilah tanda-tanda sebegini jadi anda dapat mengenal pasti sama ada maklumat itu tepat," iklan tersebut menyatakan.

"Jika anda membaca sesuatu yang membuat anda berasa marah ataupun takut, tanya kepada diri anda sama ada maklumat itu dikongsi dengan tujuan membuat anda berasa sedemikian. Dan jika jawapannya ya, fikir sekali lagi sebelum anda kongsi maklumat itu."

WhatsApp juga mengumumkan ciri baru di Pakistan yang membolehkan penerima untuk memeriksa jika mesej itu asli atau dikirimkan semula.

Syarikat itu membeli ruang iklan akhbar di India pada 10 Julai ekoran satu gelombang pembunuhan di negara itu yang dikaitkan dengan penularan "berita palsu" mengenai penculikan kanak-kanak yang disebarkan menerusi WhatsApp.

WhatsApp, dimiliki oleh Facebook, menghadapi tekanan daripada pihak berkuasa India supaya menghentikan penyebaran khabar angin yang sudah menyebabkan lebih 20 kematian dalam dua bulan yang lalu.

Jutaan orang menggunakan WhatsApp di negara jiran Pakistan di mana khabar angin, maklumat palsu dan teori konspirasi dihebahkan secara meluas. Mesej-mesej sebegitu tersebar dengan cepat dan para penerima tidak mempunyai cara untuk memeriksa kesahihannya.

Pakistan juga mempunyai sejarah keganasan yang dilakuakan secara berkumpulan dan video seperti pembunuhan Mashal Khan, pelajar bidang kewartawanan yang dituduh anti-Islam dan dibunuh beramai-ramai pada April 2017, menular dengan pantasnya.

Pilihan raya parlimen dijadualkan berlangsung pada 25 Julai.

Sumber : AFP/KN/kn
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan