Images
  • old woman
    (Gambar fail: AFP/Behrouz Mehri)

Wanita lebih tua masih perlukan pemeriksaan tulang untuk cegah keretakan tulang

AMERIKA SYARIKAT: Kaum wanita berusia 65 tahun ke atas harus terus diperiksa bagi mengesan osteoporosis, atau tulang yang mudah patah. Demikian disyorkan oleh para doktor Amerika Syarikat.

Sebilangan wanita muda yang menghadapi risiko osteoporosis lebih tinggi mungkin juga meraih manfaat daripada ujian-ujian tulang. Ini menurut garis panduan yang dikeluarkan hari ini (27 Jun) dari Pasukan Petugas Perkhidmatan Pencegahan Amerika Syarikat.

Ini mungkin termasuk golongan perokok, wanita yang minum minuman keras secara berlebihan, dan wanita yang kurang berat badan atau mempunyai ibu bapa yang patah pinggang.

Bagi para wanita, pengurangan pengeluaran estrogen semasa putus haid dan selepas itu dapat melambatkan pengeluaran tisu tulang baru. Lama kelamaan, proses ini akan meningkatkan risiko osteoporosis.

Masih belum ada bukti yang mencukupi untuk menyatakan kaum wanita muda yang perlu menjalani ujian tulang atau mengatakan dengan pasti sama ada kaum lelaki juga akan mendapat manfaat daripada pemeriksaan osteoporosis. Ini ditekankan oleh Pasukan Petugas dalam garis panduan yang diterbitkan di JAMA yang sejajar dengan saranan-saranan sebelumnya dari tahun 2011.

Menjelang 2020, sekitar 12 juta orang dewasa berusia 50 tahun ke atas di Amerika Syarikat dijangka mengalami osteoporosis, menurut Pasukan Petugas. Keretakan tulang yang disebabkan oleh osteoporosis boleh mengakibatkan penyakit kronik dan kecacatan. 

- REUTERS/NA/na

Top