Images
  • handcuff (2)
    Gambar fail gari polis. (Gambar: AFP) 

Wanita lanjut usia diserang remaja 22 tahun

COLORADO: Tekad ingin mencari rezeki meskipun sudah lanjut usia, seorang wanita ditimpa malang apabila remaja berusia 22 tahun cuba melakukan serangan seksual ke atasnya.

Tidak itu sahaja, wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Lorraine itu dipukul dan digigit sehingga beliau mengalami lebam teruk dan menerima beberapa jahitan.

Menurut agensi berita 11 News, kejadian berlaku pada Isnin (10 Sep), sekitar 4.27 pagi di mana Cik Lorraine yang bekerja sebagai pemandu Uber menerima tempahan di suatu tempat.

Sebaik sahaja beliau tiba di tempat tersebut, remaja terbabit menyuruhnya untuk menunggu buat sementara waktu kerana ingin menunggu saudara lelakinya.

"Saya menunggu selama hampir 10 minit, tetapi saudaranya tidak muncul. Saya memberitahunya saya tidak dapat menunggu dan menyuruhnya mendapatkan khidmat Uber lain," cerita wanita yang sudah bergelar 'nenek' itu kepada 11 News.

Tiba-tiba, tertuduh menunjuk ke satu tempat dan berkata bahawa saudaranya sudah tiba. Apabila Cik Lorraine menoleh, remaja itu mula menyerangnya.

Cik Lorraine menambah, remaja berkenaan pada awalnya cuba untuk merogolnya kerana melakukan beberapa perkara yang enggan beliau ceritakan.

Selepas itu, tertuduh menggigitnya sehingga beliau terpaksa diberi enam jahitan di bahagian dekat dengan mata kanannya.

11 News difahamkan Cik Lorraine turut ditumbuk di mana tertuduh bersikap seperti seorang "petinju". Telinga mangsa menjadi "benar-benar bengkak".

Remaja terbabit kemudian melarikan diri dengan kenderaan yang dipandu Cik Lorraine untuk mencari nafkah.

Polis berjaya memberkas suspek dua hari kemudian. Siasatan masih dijalankan. 

- Agensi berita/AQ/aq

Top