Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Wan Azizah akan undur bila saya jadi PM', kata Anwar Ibrahim

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri.

Anggaran Waktu Membaca:
'Wan Azizah akan undur bila saya jadi PM', kata Anwar Ibrahim

Gambar fail Encik Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail. (Gambar fail: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 14 Sep 2018 10:04PM Dikemas Kini : 14 Sep 2018 10:15PM

JOHOR BAHRU: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri.

Encik Anwar berkata bahawa sekarang belum masanya untuk Dr Wan Azizah meletakkan jawatannya dalam kabinet.

“Kenapa Wan Azizah tidak letak jawatan? Kalau Dr Wan Azizah letak jawatan, nanti hilanglah jawatan Timbalan Perdana Menteri dari PKR.

“(Dan) saya juga sudah beritahu dengan Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri), kalau saya menang (kerusi Parlimen Port Dickson), saya tidak mahu masuk kerajaan sekarang, saya nak bagi laluan kepada Dr Mahathir untuk menggalas tanggungjawab dia sehingga giliran saya.

“Jadi sabarlah, saya dilantik, Dr Wan Azizah akan letak (jawatan TPM). Bila? Bila giliran saya jadi PM. Tak payah orang sibuk dari awal, suruh dia (Dr Wan Azizah) letak (jawatan). Ini yang berlaku dalam negara tapi sabarlah. Orang bangkitkan (tentang perkara ini), saya jelaskan,” kata Encik Anwar.

Beliau berkata demikian semasa berucap kepada kira-kira 500 anggota PKR semasa program Bicara Maal Hijrah bertajuk “Hijrah ke Arah Malaysia Baharu” di Dewan Utama Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar hari ini (14 Sep).

Pada Jumaat (14 Sep), sebuah pertubuhan veteran tentera dilaporkan memberi amaran kepada Encik Anwar agar tidak mewujudkan dinasti keluarga di Parlimen, sebaliknya pemimpin PKR itu seharusnya meminta isterinya, Dr Wan Azizah atau anak perempuannya, Nurul Izzah untuk mengosongkan kerusi Parlimen mereka.

Persatuan Patriot Nasional (Patriot) dilaporkan sebagai menyatakan bahawa keluarga itu berkemungkinan dituduh nepotisme jika Encik Anwar berjaya ke parlimen.

Encik Anwar, 71 tahun, yang bakal memegang jawatan Presiden PKR secara rasmi pada November ini, diumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson setelah penyandang kerusi berkenaan, Danyal Balagopal Abdullah, meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta pada Rabu (12 Sep).

ORANG HORMAT SEBAB PKR KUAT

Sementara itu, Encik Anwar turut mengakui letih untuk menjawab soalan mengenai perhubungannya dengan Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad.

“Ya , satu dunia tahu saya musuh dia. Satu dunia tahu memang kita geng kuat (ketika dalam kerajaan dahulu). Bila bergaduh paling sengit, perang habis-habisan, sekarang kita berdamai. Patut semua sokong.

“Saya dan Dr Mahathir berdamai supaya apa yang berlaku dulu akan dihentikan. Kita rasakan dengan gandingan kekuatan baru ini, kita boleh tumbangkan kerajaan Barisan Nasional,” kata beliau.

Encik Anwar juga berkata pemilihan parti pada November ini penting, terutamanya dalam memastikan idealisme perjuangan parti terus dipegang oleh anggotanya, selain memastikan anggotanya boleh bekerja sebagai satu pasukan dan tetap setia dengan perjuangan parti.

“Sebab itu, pemilihan parti ini penting. Jangan saya (sudah) berdamai dengan Dr Mahathir (tetapi) ada pula bunyi, suara-suara sumbang dalam parti. Orang hormat parti kita sebab parti kita terkuat dan terbesar.

"Jika beri pendapat boleh, tapi kena ikut ruang betul,” tegas beliau. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan