Images
  • typhoon
    (Gambar: Agustin Paullier/AFP) 

Utara Luzon siap hadapi taufan Mangkhut esok

FILIPINA: Taufan Mangkhut semakin hampir ke Filipina dan dijangka membadai bahagian utara Luzon esok (15 Sep).

Disifatkan sebagai taufan paling ganas yang melanda Filipina tahun ini, Mangkhut diramal mencapai kelajuan lebih 200 kilometer sejam.

Sebelum ketibaan taufan yang ke-15 di Filipina tahun ini, para penduduk di kawasan persisiran pantai negara itu, sudahpun mula mencari perlindungan di pusat-pusat pemindahan sementara.

Pihak berkuasa memindahkan ribuan penduduk ketika angin kuat mula mencapai 205 kilometer sejam.

Taufan Mangkhut semakin mengganas selepas membadai kepulauan Guam dan Mariana Utara, Isnin lalu (10 Sep).

Walaupun membadai hanya semalaman, kesannya menyebabkan pokok-pokok tumbang dan bekalan elektrik terputus.

Malah, para pakar menjangkakan ombak setinggi tujuh meter di Filipina kelak.

Ini selain daripada banjir dan tanah runtuh.

Sekolah-sekolah dan pejabat juga sudah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.

- CNA/AA/na

Top