Images
  • ahmad zahid
    Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: BERNAMA) 

UMNO Johor dijangka desak Zahid bercuti

MALAYSIA: Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi sejauh ini menepis desakan beberapa pihak dalam parti yang menggesanya untuk berehat daripada jawatannya, sejak beliau dihadapkan ke mahkamah berhubung tuduhan pecah amanah.

Namun, beliau dijangka menghadapi desakan sekali lagi hari ini (10 Nov) oleh pemimpin UMNO Johor apabila beliau melawat ke negeri di bahagian selatan Malaysia itu, lapor Malaysiakini menukil sumber.

Menurut seorang ketua bahagian parti itu yang enggan namanya didedahkan, separuh daripada pemimpin UMNO di Johor akan mendesak Encik Zahid Hamidi untuk bercuti sebagai presiden sehinggalah perbicaraan kesnya di mahkamah selesai.

"Lebih separuh daripada yang ketua-ketua bahagian yang dah sah betul masing-masing akan cakap (hari ini) beri nasihat kepada Zahid untuk bercuti.

"Kalau dia didapati tidak bersalah sebelum pemilihan yang akan datang dia boleh lah sambung bertugas," kata beliau seperti ditukil Malaysiakini.

"Dia macam panglima perang, kalau panglima cedera, kena serang dengan musuh kena cari panglima baru."

Sementara itu, pemimpin kanan merangkap Ketua Umno Bahagian Kluang, Jais Sarday pula ketika ditanya Malaysiakini berhubung hal itu hanya berkata, "(hari ini nanti), tunggu dan lihat lah."

Baru-baru ini, Encik Zahid dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan 45 tuduhan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan menerima rasuah.

Berikutan dakwaan itu, terdapat gesaan, antaranya daripada sayap pemuda UMNO supaya beliau mengambil cuti sebagai presiden parti.

- Agensi berita/TQ/tq

Top