Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Turki gandakan cukai atas barangan import AS

Turki menggandakan cukai ke atas beberapa barangan import dari Amerika Syarikat, seperti kereta, arak dan tembakau, dalam langkah yang disifatkan oleh naib presidennya sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat terhadap ekonomi Turki.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Aug 2018 03:53PM Dikemas Kini : 15 Aug 2018 09:47PM

ISTANBUL: Turki menggandakan cukai ke atas beberapa barangan import dari Amerika Syarikat, seperti kereta, arak dan tembakau, dalam langkah yang disifatkan oleh naib presidennya sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat terhadap ekonomi Turki.

Langkah itu diumumkan di tengah-tengah hubungan yang semakin tegang antara dua sekutu NATO itu berhubung tindakan Ankara memenjarakan seorang paderi dari Amerika Syarikat, serta isu-isu diplomatik lain, yang menyebabkan mata wang lira jatuh ke paras paling rendah berbanding dolar.

Jumaat lalu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, mengatakan beliau memberikan kebenaran bagi cukai lebih tinggi ke atas import aluminium dan keluli dari Turki.

Dekri yang dikeluarkan dalam Warta Rasmi Turki dan ditandatangani oleh Presiden Tayyip Erdogan, menggandakan cukai kereta kepada 120 peratus, arak kepada 140 peratus dan tembakau daun kepada 60 peratus.

Cukai juga dinaikkan kepada dua kali ganda bagi barangan seperti kosmetik, beras dan arang batu.

"Cukai import ke atas beberapa produk dinaikkan berdasarkan prinsip timbal balik, sebagai tindak balas terhadap serangan pentadbiran Amerika Syarikat yang disengajakan terhadap ekonomi kita," kata Naib Presiden Fuat Oktay di Twitter.

Persengketaan antara negara itu dengan Washington melemahkan mata wang lira ke tahap paling rendah, dengan mata wang itu kehilangan lebih daripada 40 peratus nilainya berbanding dolar tahun ini, mendorong bank pusat mengambil langkah mudah tunai untuk menyokongnya.

Sebelum ini, Presiden Erdogan berkata Turki dijadikan sasaran peperangan ekonomi, dan berkali-kali menyeru rakyatnya menjual mata wang dolar dan euro bagi memperkukuh mata wang negara. Pada Selasa, beliau mengisytiharkan boikot ke atas barangan elektronik Amerika Syarikat.

Sumber : Reuters/TQ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan