Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tunang, sahabat kenang Muhammad Adib

Pada hari Allahyarham Muhammad Adib seharusnya pulang dengan tunangnya ke kampung halaman mereka di Kedah, beliau sebaliknya pergi menyambut seruan Illahi.

Anggaran Waktu Membaca:
Tunang, sahabat kenang Muhammad Adib

Tunang Allahyarham Muhammad Adib bersama anggota keluarga lain semasa penerbangan balik ke kampung halaman. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Dec 2018 09:55AM Dikemas Kini : 19 Dec 2018 10:10AM

SUBANG JAYA: Pada hari Allahyarham Muhammad Adib seharusnya pulang dengan tunangnya ke kampung halaman mereka di Kedah, beliau sebaliknya pergi menyambut seruan Illahi.

Tunangnya, Cik Nurul Najihah, hanya pulang bersama jenazah lelaki yang dicintainya selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada Isnin (17 Dis).

Pasangan itu seharusnya bernikah pada Jumaat (21 Dis) dan majlis persandingan sebelah pihak perempuan dijadualkan berlangsung pada keesokan harinya (22 Dis).

Sebelum ini, Cik Najihah sempat 'menyepi' di media sosial selepas dikecam ramai gara-gara sering memuat naik status yang didakwa "sengaja mencuri perhatian", lapor mStar.

Namun, tunang Allahyarham itu berkongsi rasa dukanya menerusi laman Instagram selepas ditinggalkan bakal suaminya buat selamanya.

"Al-Fatihah Kudip. Esok (Selasa) kita sama-sama cuti untuk balik kampung bagi perkahwinan kita.

"Ya Abang, kita balik. Kita balik sama-sama.

"Esok 18/12/2018 hari kita balik drive.

"Tapi orang balik juga dengan Abang, tapi Abang dalam keadaan kaku.Tenanglah kami. Setenang orang tengok kamu tadi," tulisnya di Instagram pada malam Isnin (17 Dis).

RAKAN-RAKAN SEPERJUANGAN KENANG '17476'

Nombor ‘17476’ pula pasti akan menjadi kenangan kepada rakan-rakan Allahyarham. Nombor berkenaan merupakan nombor badan (nombor anggota) Muhammad Adib yang sering disapa dengan panggilan 'Mat Dib' dalam kalangan rakan setugas sepanjang berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Rakan setugasnya, Mohd Khairul Hafiz Mansor, 25, berkata Allahyarham terkenal dengan sikapnya yang sentiasa murah dengan senyuman dan tidak pernah berkira ketika menjalankan tugas.

"Allahyarham jenis pendiam, tetapi bila dia (Muhammad Adib) sudah kenal, pasti semua orang senang dengan perangai dia… kami dah anggap dia macam adik kami sendiri.

"Sehingga sekarang senyuman manis dia ketika berada di balai ini sentiasa dalam ingatan semua rakan," katanya kepada agensi berita BERNAMA.

Lebih memilukan, pakaian rintangan api milik Muhammad Adib masih tergantung di suatu sudut rak pakaian di balai berkenaan.

Pakaian lusuh berwarna jingga itu merupakan antara pakaian dibawa bersama Muhammad Adib ketika operasi terakhir Allahyarham pada malam kejadian.

Encik Mohd Khairul Hafiz berkata walaupun Allahyarham sudah tiada, kenangan sepanjang bertugas bersama akan kekal terpahat dalam diri setiap anggota di balai itu.

"Allahyarham sudah meninggalkan kita semua, namun semangat juangnya yang tidak pernah putus asa akan dijadikan suntikan baru buat kami untuk terus memberi khidmat terbaik kepada masyarakat," katanya sambil memegang pakaian operasi Allahyarham.

Jenazah Muhammad Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Kedah, kira-kira 1.45 tengah hari semalam (18 Dis). 

Sumber : Agensi berita/BERNAMA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan