Trump percaya Khashoggi sudah dibunuh, beri amaran 'tindakan tegas' terhadap dalang
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Khamis (18 Okt) beliau kini percaya wartawan Jamal Khashoggi sudah dibunuh, sambil menegaskan "tindakan tegas" akan dikenakan ke atas Arab Saudi jika kerajaan itu terbukti bertanggungjawab.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Khamis (18 Okt) beliau kini percaya wartawan Jamal Khashoggi sudah dibunuh, sambil menegaskan "tindakan tegas" akan dikenakan ke atas Arab Saudi jika kerajaan itu terbukti bertanggungjawab.
"Kelihatannya seperti itu (bahawa Kashoggi dibunuh). Amat menyedihkan," kata Encik Trump kepada para wartawan apabila ditanya sama ada beliau percaya Encik Khashoggi, yang sudah hilang selama dua minggu, sudah meninggal dunia.
Ditanya tentang kemungkinan respons Amerika Syarikat terhadap Arab Saudi yang dituduh sebagai dalang pembunuhan wartawan Washington Post dan pengkritik rejim itu, Encik Trump berkata: "Tindakan yang diambil perlu sangat tegas. Ia sesuatu perbuatan yang buruk."
Jawapan Encik Trump membayangkan pendirian yang semakin tegas oleh pentadbirannya, yang sebelum ini keberatan untuk menyalahkan sekutunya. Ini meskipun terdapat bukti kukuh yang menunjukkan ejen-ejen Arab Saudi membunuh Encik Khashoggi dan tubuhnya dikerat dalam bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul lebih dua minggu lalu.
Presiden Trump berkata kesimpulan itu dibuat berdasarkan pembentangan fakta-fakta risik dari pelbagai pihak.
Wartawan Saudi itu yang banyak mengkritik kerajaan Arab Saudi melalui tulisannya, dilaporkan hilang setelah datang ke konsulat Saudi di Istanbul, Turki pada 2 Oktober.
Arab Saudi sejauh ini menyangkal keras terbabit dalam kes pembuhunhan wartawan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.