Images
  • tillerson pompeo
    Mantan Setiausaha Negara Amerika Rex Tillerson (kiri) digantikan dengan pengarah CIA Mike Pompeo. (Gambar-gambar: JOSEPH EID, JIM WATSON/AFP)

Trump pecat Rex Tillerson, lantik Mike Pompeo jadi Setiausaha Negara

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa (13 Mac) berkata beliau sudah menggantikan Setiausaha Negara Rex Tillerson dengan Pengarah Agensi Risikan Pusat (CIA), Mike Pompeo.

Encik Tillerson sebenarnya baru mendarat semula di Washington hari ini (13 Mac) selepas melakukan lawatan ke beberapa negara Afrika, dan beberapa jam kemudian Presiden Trump mengumumkan menerusi Twitter bahawa diplomat utamanya itu disingkirkan. Kedua-dua tokoh itu sebelum ini terbabit dalam perbalahan awam.

Dalam pengumuman menerusi Twitter itu, Encik Trump juga mengumumkan pemilihan timbalan pengarah CIA, Gina Haspel, sebagai pengganti Encik Pompeo di agensi risik itu.

Pemecatan Encik Tillerson mencerminkan perubahan kakitangan terbesar dalam kabinet Trump setakat ini dan mengakhiri ketegangan berbulan-bulan lamanya antara presiden Republican itu dengan Encik Tillerson, mantan ketua eksekutif Exxon Mobil berusia 65 tahun.

Seorang pegawai kanan Rumah Putih berkata Encik Trump meminta Encik Tillerson melepaskan jawatan pada Jumaat tetapi tidak mahu mengumumkannya semasa mengadakan kunjungan ke Afrika.

Pegawai tersebut berkata Encik Trump bekerja rapat dengan Pompeo, seorang mantan anggota kongres dari Kansas yang dilihat sebagai seorang yang setia dalam pentadbiran, dan mahukan beliau menyandang jawatan itu sebelum rundingan yang dirancangkan antara presiden Amerika itu dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un serta rundingan perdagangan.

Encik Trump dan Encik Tillerson, yang tidak mempunyai sebarang pengalaman diplomatik atau politik sebelum menjadi Setiausaha Negara, tidak sehaluan mengenai banyak isu berkenaan dasar, termasuk mengenai Korea Utara dan Rusia.

Pada Isnin, Encik Tillerson menyelar hebat Rusia berhubung percubaan membunuh terhadap seorang mantan ejen risik dan anak perempuannya di England, sekaligus menuduh Mosko selepas Setiausaha Akhbar Rumah Putih Sarah Sanders tidak berbuat demikian.

Encik Tillerson dilaporkan tidak tahu sebab musabab beliau dipecat dan ia tidak dinyatakan kepada beliau, menurut seorang pembantunya. 

- Reuters/IM/im

Top