Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump isytihar Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel, cetus kemarahan dunia

Tanpa mengendahkan amaran dunia, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tetap berdegil untuk mengiktiraf bandar Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel pada Rabu (6 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Dec 2017 09:25AM Dikemas Kini : 07 Dec 2017 09:22PM

WASHINGTON: Tanpa mengendahkan amaran dunia, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tetap berdegil untuk mengiktiraf bandar Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel pada Rabu (6 Dis).

Ini sekaligus mencetuskan kritikan dan kebimbangan dari seluruh dunia tentang pertumpahan darah yang baru di Timur Tengah.

Langkah Presiden Trump, yang merupakan janji utama dalam kempen pilihan raya tahun lalu, mengakhiri dasar berhati-hati Amerika Syarikat terhadap status Baitulmakdis, yang dituntut kedua-dua rakyat Israel dan Palestin.

Pemimpin Amerika itu kelihatan semakin terpinggir, selepas negara-negara sekutu dan musuhnya juga mengutuk keputusan beliau. Rakyat Palestin mempersoalkan sama ada impian untuk diiktiraf sebagai sebuah negara masih wujud, di bawah proses damai Israel-Palestin yang diterajui Washington.

Bagaimanapun, presiden Amerika itu mendakwa langkahnya itu menandakan permulaan "pendekatan baru" bagi menghuraikan konflik Israel-Palestin.

"Israel adalah negara berdaulat dengan hak seperti setiap negara berdaulat lain untuk menentukan ibu kotanya," kata Presiden Trump berucap di Rumah Putih.

"Sudah tiba masanya untuk Baitulmakdis diiktiraf sebagai ibu kota Israel," katanya, sambil menggesa "suara-suara tenang dan bertoleransi untuk menguasai penyebar kebencian."

Presiden Palestin Mahmud Abbas mengatakan langkah Presiden Trump yang "amat dikesali dan tidak dapat diterima" itu melambangkan pengunduran Amerika daripada menjadi penyokong proses keamanan tersebut.

Meskipun dialu-alukan oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebagai "keputusan yang berani dan adil", langkah Presiden Trump menyebabkan banyak negara sekutu Amerika sukar untuk memberi respons - dan berharap tidak akan tercetus pusingan baru pemberontakan di Timur Tengah.

Britain bagaimanapun menyifatkan langkah itu sebagai "tidak membantu" dan Perancis pula sebagai "amat dikesali".

Jerman, dengan lurus, menyatakan ia "tidak menyokong" keputusan Presiden Trump.

Lapan negara termasuk Britain, Perancis dan Itali menggesa agar mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan, dedah para diplomat.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata status Baitulmakdis hanya boleh diselesaikan menerusi rundingan secara langsung antara Israel dan Palestin.

Katanya, beliau secara konsisten membantah sebarang pendekatan pelbagai negara yang diambil sebelum ini.

Para pemimpin negara-negara Islam sudahpun memberi amaran kepada Presiden Trump, bahawa tindakannya itu menyinggung perasaan umat Islam seluruh dunia dan menamatkan usaha mencari penyelesaian kepada isu Palestin, dan peranan Washington sebagai pengantara rundingan damai.

Turki menyifatkan keputusan itu sebagai "tidak bertanggungjawab" dan haram. Iran pula menyatakan ia akan "membangkitkan kemarahan umat Islam dan mencetuskan intifada baru".

Serentak dengan pengumuman itu, Presiden Trump juga mengarahkan proses membuat persiapan bagi memindahkan kedutaan Amerika di Tel Aviv ke Baitulmakdis.

Sumber : AFP/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan