Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tol tidak dapat dihapus kerana masalah kewangan

Kerajaan Malaysia tidak dapat menghapuskan kutipan tol disebabkan masalah kewangan semasa negara, kata Menteri Kerja Raya negara itu, Baru Bian.

Anggaran Waktu Membaca:
Tol tidak dapat dihapus kerana masalah kewangan

(Gambar hiasan: BERNAMA)

Diterbitkan : 10 Oct 2018 09:22PM Dikemas Kini : 10 Oct 2018 09:24PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak dapat menghapuskan kutipan tol disebabkan masalah kewangan semasa negara, kata Menteri Kerja Raya negara itu, Baru Bian.

Beliau berkata tidak betul sekiranya ada yang bertanggapan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh menghentikan kutipan tol dalam masa dua atau tiga bulan.

“Kita akan teruskan kutipan tol seperti sedia ada, sehingga kedudukan kewangan negara jadi lebih kukuh… ini bermakna kita sedang melihat kepada lain-lain alternatif,” kata Encik Baru pada Selasa (9 Okt).

Semasa berkempen bagi pilihan raya umum Malaysia pada Mei lalu, Pakatan Harapan mendedahkan manifesto yang antara lain berjanji akan menghapuskan tol di seluruh negara demi meringankan beban rakyat.

Encik Baru berkata kos sebenar penyelenggaraan jalan raya persekutuan setiap tahun adalah kira-kira RM2 bilion (S$666 juta), namun Kementerian Kerja Raya hanya menerima antara RM600 juta (S$200 juta) dan RM800 juta (S$266 juta) sahaja dari bajet tahunan bagi tujuan itu.

“Malah, kami diminta berusaha mengurangkan lagi jumlah itu. Pihak kami menerima kurang 50 peratus daripada apa yang diperlukan. Selain itu, kami juga ada kerja-kerja penyelenggaraan yang tertangguh sekitar 30 peratus yang perlu dilaksanakan. Jika kami tidak laksanakan kerja-kerja ini, jumlah kerja yang tertangguh akan melonjak kepada 40 atau 50 peratus,” katanya.

"Keselamatan pengguna jalan raya amat penting. Oleh itu, kami akan merayu kepada Kementerian Kewangan untuk dapatkan peruntukan sewajarnya yang kami perlukan. Jika kerja-kerja penyelenggaraan ini tidak dijalankan, lebih banyak lagi jalan raya akan berlubang, nanti timbul pula isu lain lagi,” tambah beliau. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan