Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tidak terima orang buat anak saya begitu, kata ibu Adam Rayqal

“Saya jaga bayi di wad, saya tidak pernah buat anak orang. Bila orang buat Adam begitu saya tidak boleh terima," kata ibu kepada Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif.

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak terima orang buat anak saya begitu, kata ibu Adam Rayqal

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 19 Jul 2018 12:11PM Dikemas Kini : 19 Jul 2018 12:19PM

KUALA LUMPUR: “Saya jaga bayi di wad, saya tidak pernah buat anak orang. Bila orang buat Adam begitu saya tidak boleh terima”.

Demikian kata-kata ibu kepada Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, bayi berusia lima bulan yang ditemui meninggal dunia dalam peti sejuk pada 3 Julai.

Farah Madihah Othman, 28, yang bertugas sebagai jururawat di wad pediatrik Hospital Kuala Lumpur berkata beliau tidak pernah menjangkakan tragedi hitam itu akan menimpa keluarganya dan meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan mereka.

“Saya rasa terlalu sekejap bersama anak. Adam baru berusia lima bulan, memang asyik teringat dia (Adam Rayqal) bila di rumah… saya tidak boleh bayang macam mana Adam menangis ketika kejadian,” katanya ketika ditemui wartawan di rumahnya di Taman Amaniah, Batu Caves, Selangor.

Menurutnya, beliau kini reda dengan insiden yang menimpa anak sulungnya itu meskipun pada awalnya asyik menangis teringatkan Adam Rayqal.

TAK TERFIKIR PENGASUH TERGAMAK

Pada awalnya beliau mengakui agak sukar untuk mempercayai pengasuh berkenaan, namun wanita itu berjaya meyakinkannya dengan berjanji menjaga Adam Rayqal sebaik mungkin.

“Memang susah nak meletakkan keyakinan kepada pengasuh tapi bila dia (pengasuh) beri keyakinan dan menjaga anak OKU (Orang Kurang Upaya) sedikit sebanyak saya membuat pertimbangan menghantar anak saya kepadanya," katanya.

Menceritakan detik kejadian, Farah Madihah berkata pengasuh berkenaan menghubunginya dan mendakwa suaminya Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, sudah mengambil anak mereka.

“Saya memang betul-betul ingat anak dilarikan tak terfikir dia (pengasuh) bertindak sedemikian,” katanya.

Farah Madihah berkata beliau kini bercuti dan masih menunggu keputusan permohonan pertukaran ke Terengganu.

Sebelum ini, Farah Madihah menerima kunjungan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Dr Noraini Ahmad.

Pada 3 Julai lepas, Adam Rayqal dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves di sini sebelum mayatnya ditemui oleh anggota polis di bahagian beku peti sejuk di rumah tersebut lewat malam hari kejadian.

Hasil bedah siasat pakar forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian Adam Rayqal adalah pendarahan dalaman di bahagian otak dengan kesan retak di bahagian tempurung kepala.

Dr Noraini ketika ditemui wartawan mencadangkan agar kerajaan mengambil tindakan drastik susulan insiden berkenaan antaranya dengan menguatkuasakan undang-undang.

Menurutnya, kerajaan harus mewajibkan semua pengasuh sama ada yang mengasuh di kediaman sendiri atau pusat asuhan supaya berdaftar dengan kementerian berkaitan.

“Kementerian boleh paparkan kepada umum pengasuh yang berdaftar dengan mereka supaya dapat meyakinkan ibu bapa...selain itu kami sarankan supaya satu pusat latihan untuk melatih pengasuh diwujudkan supaya mereka dapat menjalankan tugas secara profesional, “ katanya. 


LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan