Images
  • perak
    Menteri Besar Perak. (Gambar: Ahmad Faizal Dato' Azumu/Facebook)  

Tiada lagi tindakan diambil terhadap pihak yang mahu jatuhkan Menteri Besar Perak

IPOH: Tiada tindakan akan diambil terhadap pihak yang ingin menjatuhkan Encik Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar selagi siasatan pihak berkuasa berhubung kes berkenaan belum selesai sepenuhnya, demikian menurut Menteri Besar Perak itu.

Beliau, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak berkata, setakat ini pihaknya tidak melihat kesalahan yang dilakukan oleh anggota exco Kerajaan Negeri yang digambarkan sebagai dalang komplot untuk menjatuhkan Menteri Besar seperti mana didakwa Ketua Pembangkang Encik Saarani Mohamad sebelum ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada PH akan mengambil tindakan terhadap pihak yang ingin menjatuhkannya.

Selasa lepas, Encik Saarani semasa perbahasan Belanjawan 2019 pada persidangan Dewan Undangan Negeri seolah-olah menggambarkan Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Dr Abdul Aziz Bari sebagai dalang komplot untuk menjatuhkan Menteri Besar.

Bagaimanapun, Encik Abdul Aziz yang juga Anggota Dewan Undangan (ADUN) Negeri Tebing Tinggi menafikannya dan menyifatkan dakwaan Encik Saarani sebagai satu 'cerita kartun' serta gimik murahan untuk menarik perhatian dalam politik.

Semalam (6 Dis), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Perak sudah memanggil Encik Saarani yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri serta lima ADUN dari parti itu iaitu ADUN Rungkup, Encik Shahrul Zaman Yahya, Encik Sham Mat Sahat (Alor Pongsu), Encik Khairul Shahril Mohamed (Bota), Encik Maslin Sham Razman (Bukit Chandan) dan Dr Jurij Jalaluddin (Lubuk Merbau).

Rabu lepas, Encik Abdul Aziz memberi keterangan selama dua jam kepada SPRM negeri mengenai isu fitnah menjatuhkan Menteri Besar. 

- BERNAMA/NA/na

Top