Images
  • pm lee mahathir
    PM Lee Hsien Loong dan Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: MCI/Jackson Board)

Tiada agenda ditetapkan bagi pertemuan dengan PM Lee, kata Mahathir

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir berkata tiada topik yang ditetapkan untuk dibincangkan bersama Perdana Menteri Lee Hsien Loong dari Singapura dalam pertemuan mereka di Kuala Lumpur yang dijadualkan Sabtu ini (19 Mei).

"Kami belum memilih topik tetapi kami akan adakan perbincangan, dan jika beliau utarakan sebarang isu, kami akan bincangkannya.

"Tetapi buat masa ini, saya masih lagi mencari pendirian kami mengenai beberapa isu, yang belum lagi ditetapkan. Jadi saya tidak boleh beritahu anda apa yang saya akan bincangkan," kata Dr Mahathir semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini (17 Mei).

PM Lee semalam (16 Mei) berkata Singapura perlu memberi perhatian rapi kepada jiran terdekatnya itu bagi manfaat bersama.

"Jangkaan kerajaan baru Malaysia itu amat tinggi dan saya rasa Dr Mahathir amat sibuk pada hari-hari mendatang. Saya merancang untuk mengadakan pertemuan dengannya pada Sabtu ini dan memberitahu beliau bahawa saya mahu bekerjasama lagi dengan beliau demi manfaat bersama (kedua-dua negara)," kata PM Lee semasa berucap di Parlimen.

PM Lee juga menambah, beliau mempunyai hubungan baik dengan ahli politik Malaysia, Anwar Ibrahim, yang dibebaskan hari ini.

"Saya juga mengenali Anwar Ibrahim kerana beliau pernah menjadi rakan sejawatan saya semasa saya bertugas sebagai Timbalan Perdana Menteri," kata PM Lee.

Singapura dan Malaysia pernah menyelesaikan beberapa projek-projek besar, termasuk Linkedua di Tuas, semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia dari 1981 hingga 2003.  

- BERNAMA/FA/fa

Komen Anda?

Top