Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Thailand kumpul maklumat lelaki diburu polis M'sia, terlibat dengan ISIS

Pihak berkuasa Thailand sedang mengumpul lebih banyak maklumat tentang seorang rakyatnya yang dikehendaki polis Malaysia kerana didakwa terlibat dengan kumpulan pengganas ISIS.

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand kumpul maklumat lelaki diburu polis M'sia, terlibat dengan ISIS

Bendera ISIS. (Gambar hiasan: DADO RUVIC/REUTERS)

Diterbitkan : 18 Apr 2018 08:14AM Dikemas Kini : 18 Apr 2018 08:29AM

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand sedang mengumpul lebih banyak maklumat tentang seorang rakyatnya yang dikehendaki polis Malaysia kerana didakwa terlibat dengan kumpulan pengganas ISIS.

Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (NSC) Jeneral Wanlop Raksanor berkata, Thailand belum dimaklumkan Malaysia tentang penglibatan lelaki berusia 37 tahun dari Narathiwat itu dan hanya mengetahui perkara berkenaan melalui laporan media.

"Kami sedang menyiasat perkara ini. Saya hanya mendapat tahu tentang perkara ini melalui laporan berita. Setakat ini, pihak berkuasa Malaysia belum menyampaikan sebarang maklumat kepada kami (tentang lelaki berkenaan)," kata Jeneral Wanlop kepada Bernama sebelum menghadiri mesyuarat mingguan Kabinet di Bangunan Kerajaan semalam (17 Apr).

Beliau berkata bahawa pihak berkuasa Thailand juga akan menyiasat sama ada lelaki itu memiliki kerakyatan Thailand dan Malaysia atau sering berkunjung ke Timur Tengah.

Jeneral Wanlop berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun semalam tentang usaha polis untuk menjejaki tiga rakyat Malaysia dan seorang rakyat Thailand, yang menurut beliau "disifatkan sebagai berbahaya."

Polis Malaysia mengenal pasti rakyat Thailand itu sebagai Awae Wae-eya dari Cho Airong di Narathiwat.

Tiga rakyat Malaysia yang disebut dalam kenyataan Tan Sri Fuzi semalam adalah Nor Farkhan Mohd Isa, 31, dari Skudai, Johor; Muhamad Hanafi Yah, 51, dan Muhamad Faizal Muhamad Hanafi, 29, dari Kampung Ketil, Pengkalan Kubor.

Empat suspek itu dipercayai merancang untuk menyerang tempat ibadat bukan Islam dan menculik serta membunuh anggota polis.

Menurut Tan Sri Fuzi, enam anggota kumpulan pengganas yang sama ditangkap Polis Cawangan Khas di Johor antara 27 Feb dengan 1 Mac.

Di sebalik konflik berlarutan di selatan Thailand yang meragut 7,000 nyawa sejak 2004, Bangkok berulang kali menyatakan bahawa negara tersebut bebas daripada sebarang ancaman melibatkan ISIS dan tiada seorang pun ditangkap kerana mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas itu.

LAPORAN BERKAITAN

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan