Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tentera Thai nafi 28 kereta kebal yang dibelinya dari China model lama

Angkatan Tentera Diraja Thailand (RTA) menolak kritikan yang mendakwa 28 Kereta Kebal Tempur Utama VT4 yang dibeli dari China dengan harga 4.9 bilion Baht (S$196 juta) adalah model lama.

Anggaran Waktu Membaca:
Tentera Thai nafi 28 kereta kebal yang dibelinya dari China model lama

(Gambar: mstar.com.my)

Diterbitkan : 12 Oct 2017 11:17PM Dikemas Kini : 12 Oct 2017 11:21PM

BANGKOK: Angkatan Tentera Diraja Thailand (RTA) menolak kritikan yang mendakwa 28 Kereta Kebal Tempur Utama VT4 yang dibeli dari China dengan harga 4.9 bilion Baht (S$196 juta) adalah model lama.

Kritikan itu berpunca daripada penyerahan kereta kebal tersebut kepada RTA lebih awal daripada jadual hingga mencetuskan dakwaan bahawa sistem senjata itu adalah model lama.

“Penghantaran VT4 enam bulan lebih awal dari jadual tetapi ia disebabkan oleh daya saing perniagaan. Kereta kebal itu bukan model lama seperti yang disangka,” kata pemerintah RTA Jen Chalermchai Sittisard kepada media tempatan di Bangkok.

Kereta kebal itu tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Thailand di Sattahip Isnin lepas dan dibawa ke Saraburi untuk pemeriksaan dan pemasangan peralatan komunikasi.

Menurut beliau, penghantaran lebih awal kereta kebal buatan China itu memberi manfaat kepada tentera tetapi tidak mengulas lanjut.

BERDEPAN MASALAH PEROLEH DARI UKRAINE, THAILAND BAKAL PESAN DARI CHINA LAGI

Sejak membeli 28 kereta kebal VT4, Thailand membuat pesanan tambahan bagi 20 buah lagi kereta kebal yang sama, dijadual dihantar tahun ini dan tahun depan.

Media tempatan mendakwa bahawa Tentera Thailand membeli kereta kebal buatan China itu kerana perolehan 48 kereta kebal T-84 “Oplot”dari Ukraine menghadapi masalah penghantaran akibat konflik yang semakin buruk di negara Eropah Timur itu.

Sejak menandatangani perjanjian untuk membeli kereta kebal buatan Ukraine tiga tahun lalu, hanya 10 daripada kenderaan berperisai itu berjaya diserahkan kepada Tentera Thailand.

THAILAND, CHINA MEMPERKUKUHKAN LAGI HUBUNGAN TENTERA

Pembelian senjata buatan China oleh Thailand tidak mengejutkan kerana menurut para pemerhati, Bangkok dan Beijing sudah menjalin hubungan ketenteraan yang rapat terutama sejak hubungan Bangkok dengan sekutu lamanya, Amerika Syarikat, terjejas apabila junta tentera melancarkan rampasan kuasa pada Mei 2014.

Selain kereta kebal VT4, Thailand juga bersetuju untuk membeli kereta perisai dan kapal selam dari China, menandakan hubungan ketenteraan semakin kukuh antara kedua-dua negara. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan