Images
  • marine
    Kapal USS Essex. (Gambar: Ed Jones/AFP)

Tentera laut AS sedang cari anggotanya yang jatuh ke laut di Filipina

MANILA: Tentera Amerika Syarikat menyatakan bahawa pihaknya sudah melancarkan operasi mencari dan menyelamat, ekoran beberapa laporan mengenai seorang tentera laut yang mungkin terjatuh dari kapal perang Amerika ketika ia sedang berlayar di kawasan perairan Filipina.

Unit Ekspedisi Marin ke-13 AS menyatakan bahawa salah seorang anggota, yang identitinya tidak didedahkan, mungkin terjatuh ke dalam laut pada pagi Khamis (9 Ogos).

Pesawat dari kapal USS Essex sedang menjalankan operasi mencari di kawasan perairan di luar Laut Sulu dan Selat Surigao. Beberapa operasi mencari juga sedang dijalankan di dalam kapal berkenaan, menurut unit itu melalui kenyataan di lelaman media sosialnya pada lewat Jumaat (10 Ogos).

Kapal itu sedang menjalankan "operasi rutin di Laut Sulu" ketika kejadian tersebut berlaku, menurut unit yang berpangkalan di California.

Kenyataan unit berkenaan menukil komander unit tentera laut itu, Kolonel Chandler Nelms, sebagai berkata: "Kami kekal komited dalam usaha mencari dan menyelamat anggota tentera laut kami."

"Kesemua anggota kelasi, tentera laut dan aset-aset yang ada di atas kapal USS Essex sudahpun dan akan sentiasa terlibat dalam operasi yang amat penting ini," tambah komander pasukan operasi mencari, Kapten Tentera Laut Amerika Syarikat Gerald Olin.

Para anggota pengawal pantai Filipina turut menyertai operasi itu yang sudah diperluaskan ke kawasan perairan sekitar 3,000 batu nautika (10,290 kilometer persegi), tambah kenyataan tersebut.

Laut Sulu, iaitu laluan kapal terbesar di Filipina, terletak di bahagian tengah dan selatan kepulauan Asia.

Selat Surigao pula terletak sekurang-kurangnya 300 kilometer daripada bahagian timur kawasan pinggir laut Filipina.

Kenyataan itu, bagaimanapun, tidak menerangkan mengapa operasi tersebut dijalankan di kedua-dua lokasi tersebut.

Jurucakap tentera laut dan pengawal pantai Filipina di Manila pula memberitahu agensi berita AFP pada Jumaat (11 Ogos) bahawa ia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung operasi itu. 

- AFP/AI/ai

Top