Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suspek pengganas asing satu cabaran keselamatan bagi M'sia

Apabila polis Malaysia mengumumkan tentang penangkapan lapan suspek pengganas Jumaat lalu (16 Nov), ia menarik perhatian kepada satu masalah yang dihadapi pihak berkuasa di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Suspek pengganas asing satu cabaran keselamatan bagi M'sia

Polis Malaysia mendedahkan bahawa para suspek yang ditangkap pada 16 Nov mempunyai kaitan dengan sebuah madrasah di Yaman. (Gambar: Polis Malaysia)

Diterbitkan : 21 Nov 2018 12:56PM Dikemas Kini : 21 Nov 2018 01:02PM

KUALA LUMPUR: Apabila polis Malaysia mengumumkan tentang penangkapan lapan suspek pengganas Jumaat lalu (16 Nov), ia menarik perhatian kepada satu masalah yang dihadapi pihak berkuasa di negara itu.

Masalahnya ialah warga asing yang berjaya melalui imigresen Malaysia tetapi kemudian melakukan kegiatan-kegiatan militan. Tujuh daripada lapan suspek yang diberkas minggu lalu merupakan rakyat Filipina, dengan ada dalam kalangan mereka bekerja sebagai buruh kasar atau pekerja binaan di kawasan timur Sabah.

Polis menyatakan bahawa para suspek disyaki melakukan pelbagai kesalahan, termasuk merekrut kanak-kanak di Filipina sebagai cara untuk melindungi diri mereka dan bagi kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan.

Serbuan terkini membawa jumlah keseluruhan suspek pengganas asing yang diberkas di Malaysia sejak 2013 kepada 128.

Perangkaan ini melebihi 25 peratus daripada 445 penangkapan seumpama itu yang dilakukan pihak polis dalam tempoh lima tahun lalu.

MENGAPA MALAYSIA?

Dengan polis giat memburu para suspek, pakar-pakar berkata terdapat beberapa faktor yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi popular dalam kalangan mereka yang berpegang kepada fahaman pelampau dan ingin melakukan kegiatan pengganas di luar negara.

"Malaysia dianggap sebagai negara yang mesra bagi kaum Muslim; visa juga tidak diperlukan bagi sebilangan penduduk Timur Tengah. Perkara ini dimanfaatkan mereka," kata pakar antipengganas Ahmad el-Muhammady.

"Dan mudah bagi mereka untuk menyesuaikan diri memandangkan terdapat banyak masyarakat Timur Tengah di Malaysia."

Beliau menambah: "Harus ada pemeriksaan lebih ketat terhadap para pelancong dari negeri-negeri Arab di mana para pegawai imigresen, misalnya, haruslah pandai berbicara dalam Bahasa Arab."

Seorang bekas pegawai perisikan, yang menjalankan siasatan terhadap mereka yang terlibat dalam insiden 9/11 dan sebelumnya datang ke Malaysia pada 1999, memberitahu Mediacorp bahawa ia bukan sesuatu yang mengejutkan mengapa anggota Al-Qaeda masih datang ke Malaysia.

"Mudah untuk memasuki dan kemudian tidak dikesan buat jangka panjang di negara ini. Mungkin juga mereka mempunyai satu rangkaian yang menyokong mereka," katanya, yang enggan dinamakan.

SOGOKAN DI SEMPADAN?

Pengganas asing datang ke Malaysia atas pelbagai tujuan: Ada yang melarikan diri daripada pihak berkuasa yang memburunya di negara asal, ada juga yang ingin mengumpul dana.

"Dan rakyat Malaysia sangat murah hati," kata Ketua Jabatan Khas Divisyen Antipengganas Ayob Khan Mydin Pitchay.

Antara cabaran lain bagi pasukan perisikan adalah sempadan Malaysia yang dipercayai mudah dicerobohi kerana tindakan sesetengah pihak yang mengambil rasuah dan tidak menjalankan pemeriksaan keselamatan.

"Penting bagi kerajaan untuk melihat kepada amalan rasuah yang berlaku di laluan-laluan masuk dan keluar negara," kata seorang pakar antipengganas, Ahmad el-Muhammady.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim ditukil Bernama sebagai berkata kelemahan-kelemahan ini satu ancaman besar kepada negara.

"Sejauh ini, kami masih mengumpul maklumat dan melakukan analisa," katanya. "Apabila sudah ada maklumat mencukupi, kami akan menjalankan satu operasi khas."

CABARAN-CABARAN BESAR

Penangkapan terkini menunjukkan sebilangan suspek berupaya menjalani kehidupan biasa dan bekerja tanpa dijejaki selama bertahun-tahun.

Ada yang membuka syarikat sendiri untuk menyembunyikan kegiatan-kegiatan mereka atau dari pihak berkuasa di negara asal.

Sesetengah juga bekerja sebagai pengawal keselamatan, pekerja binaan atau penjual barangan.

Sekurang-kurangnya tujuh anggota Abu Sayyaf bekerja sebagai pengawal keselamatan ketika ditangkap, menurut polis.

Ada juga militan-militan asing yang bekerja sebagai guru yang menyebarkan ideologi Salafi Jihadi, yang merupakan asas kumpulan-kumpulan pengganas seperti ISIS dan Al-Qaeda.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan