Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sultan Selangor tegas tidak memihak dengan mana-mana parti politik

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baginda dan Istana Selangor berkecuali serta tidak memihak kepada mana-mana parti politik di negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Sultan Selangor tegas tidak memihak dengan mana-mana parti politik

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. (Gambar: Facebook Media Selangor)

Diterbitkan : 20 Apr 2018 02:31PM Dikemas Kini : 20 Apr 2018 02:32PM

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baginda dan Istana Selangor berkecuali serta tidak memihak kepada mana-mana parti politik di negara ini.

Menurut BH Online, titah baginda itu diedarkan kepada media dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, pagi tadi (20 Apr).

"Beta ingin menarik perhatian sekalian rakyat jelata kepada senario semasa menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada bulan Mei ini.

"Beta ingin menegaskan bahawa Beta dan Istana Selangor sentiasa di pihak berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik di negara ini.

"Beta tidak ada kaitan dengan apa juga bentuk persaingan politik dan tidak mencampuri urusan politik sama ada di peringkat negeri mahu pun negara.

"Beta juga ingin menegaskan bahawa kedudukan Beta sebagai seorang Raja adalah mengatasi politik dan tidak seharusnya dilihat menyokong mana-mana parti politik," titah baginda seperti ditukil BH Online.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda sentiasa percaya dan menghormati kuasa rakyat untuk memilih pemimpin yang dirasakan layak untuk mewakili mereka, selaras dengan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan yang diamalkan di Malaysia ketika ini, lapor BH Online.

"Beta ingin mengingatkan kepada sekalian rakyat terutama di Negeri Selangor supaya jangan cuba menimbulkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan perbalahan dan kekacauan ketika musim pilihan raya ini berjalan.

"Beta berharap agar Pilihan Raya Umum Ke-14 ini dapat dijalankan dengan lancar dan di dalam keadaan yang aman tanpa sebarang kekecohan dan huru-hara di kalangan rakyat," titah baginda. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan