Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sultan Nazrin: Masyarakat akan sengsara sekiranya pemimpin tidak amanah & berintegriti

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkata pemimpin yang tidak amanah dan berintegriti akan mengakibatkan masyarakat berada dalam sengsara.

Anggaran Waktu Membaca:
Sultan Nazrin: Masyarakat akan sengsara sekiranya pemimpin tidak amanah & berintegriti

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. (Gambar: Facebook/Sultan Nazrin Muizuddin Shah)

Diterbitkan : 20 Nov 2018 10:25PM Dikemas Kini : 20 Nov 2018 10:28PM

PUTRAJAYA: Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkata pemimpin yang tidak amanah dan berintegriti akan mengakibatkan masyarakat berada dalam sengsara.

Sultan Nazrin berkata kemiskinan masyarakat akan menjadi lebih buruk apabila pemimpin lebih mengutamakan agenda membina kekayaan material dengan mengambil dan menidakkan hak masyarakat melalui kaedah yang meragukan.

“Kekayaan material secara mencurigakan akan melahirkan individu kaya secara mendadak tanpa dilengkapi kekayaan minda, intelek, ilmu dan rohani merupakan kekayaan palsu yang sangat sementara sifatnya, sekadar melahirkan budaya bermewah, bermegah dan budaya melakukan banyak pembaziran.  

“Akibatnya, berlaku ketirisan sumber, pembangunan yang tempang, serta kadar pengangguran, kadar penghijrahan, penyeludupan, jenayah dan rasuah yang tinggi, disusuli dengan pelbagai penyakit sosial.  

“Akhirnya ketenteraman awam terjejas, kestabilan politik tergugat, dan masyarakat bertambah derita kerana terperangkap dalam putaran ganas penderitaan,” demikian tekannya pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini (20 Nov).

ERTI PEMIMPIN BERTANGGUNGJAWAB

Sebaliknya menurut beliau, pimpinan yang lebih bertanggungjawab kepada masyarakat dan watan, bersih daripada rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa dan menyelewengkan amanah, kini lantang disuarakan. 

Sultan Nazrin berkata kesejahteraan bangsa dan kemakmuran sesebuah negara dipengaruhi sifat dan akal bicara pemimpin. Beliau turut menambah bahawa ulama besar, umara yang berwibawa dan peniaga yang jujur akan lahir dalam negara yang pemimpinnya memiliki sifat takwa, serta menghayati kebesaran Ilahi.

“Jika pemimpin senantiasa insaf akan tanggungjawab lebih besar kepada Allah Maha Pencipta, akan sejahteralah hidup masyarakat dan makmurlah (sesebuah) negara.  

“Khazanah negara akan diurus secara telus, sumber negara akan diagihkan secara saksama, dan kekayaan negara tidak akan dibazirkan. Kepentingan majoriti masyarakat akan lebih diutamakan,” katanya yang pernah menuntut di Universiti Oxford dan Harvard.

MASALAH MASYARAKAT BERPUNCA DARI KETIADAAN INTEGRITI

Sultan Nazrin berpendapat masalah masyarakat hari ini berpunca daripada ketiadaan integriti oleh mereka yang diamanahkan dengan kuasa dan krisis tercetus kerana perebutan membina kekayaan secara tidak telus.

“Malah turut berlakunya perebutan kuasa, kerana kuasa dilihat sebagai saluran atau konduit untuk membina kekayaan diri, kekayaan keluarga dan kekayaan kroni.

“Budaya hipokrasi melemahkan tiang integriti kerana berlakunya amalan ‘pepat di luar rencong di dalam’, kerana membenarkan ‘gunting selesa dalam lipatan’,” tekan beliau. 

Sumber : Bernama/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan