Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sultan Johor 'hadiahkan' rumah banglo, rumah berkembar kepada rakyat Johor; pendahuluan serendah RM1

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bakal mengumumkan 'hadiah istimewa' berbentuk skim perumahan mampu milik kepada rakyat di negeri Johor sempena Hari Keputeraan beliau yang disambut Khamis ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Sultan Johor 'hadiahkan' rumah banglo, rumah berkembar kepada rakyat Johor; pendahuluan serendah RM1

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. (Gambar: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

Diterbitkan : 21 Mar 2017 07:16AM Dikemas Kini : 21 Mar 2017 07:19AM

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bakal mengumumkan 'hadiah istimewa' berbentuk skim perumahan mampu milik kepada rakyat di negeri Johor sempena Hari Keputeraan beliau yang disambut Khamis ini.

Beliau berkata skim tersebut yang berstatuskan hak milik bebas adalah yang pertama seumpamanya dan bakal dibangunkan di Bandar Dato Onn di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim.

Ia turut mendapat kerjasama daripada Bank Rakyat dan menawarkan konsep hartanah kediaman yang berlainan, rumah kedai dan lain-lain unit komersil.

Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai projek itu tidak didedahkan kerana beliau meminta agar rakyat hadir sendiri ke Galleria Kota Raya pada Rabu ini bagi menyaksikan pelancaran projek tersebut.

"Ia dibuka kepada semua bangsa Johor yang layak. Akan tetapi, proses
pemilihan adalah amat ketat dan teliti.

"Pemohon yang berjaya hanya perlu membayar RM1 (S$0.30) sebagai deposit dan mereka akan ditawarkan pinjaman penuh dengan skim pembayaran semula yang mudah," kata Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Media Diraja Johor pada Selasa.

Kata Sultan Johor lagi, ia sudah menjadi hasrat beliau untuk melihat Bangsa Johor menjadi sebuah masyarakat yang memiliki rumah dengan memastikan skim ini benar-benar mampu dimiliki, murah dan berkualiti tinggi.

Beliau juga sempat membayangkan bagaimana rakyat boleh memiliki sebuah banglo tiga bilik atau rumah berkembar dengan harga bawah RM100,000 (S$31,560) seunit.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan projek itu mampu membuat 'kejutan' dalam industri perumahan tempatan, sekaligus memaksa pemaju swasta menurunkan harga rumah.

"Kita mesti memastikan rumah mampu dimiliki oleh semua. Harga sekarang adalah di luar jangkauan mereka yang berpendapatan sederhana," kata beliau.  

Sumber : Bernama/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan