Images
  • crime
    Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

Suami tetak pergelangan isteri kerana cemburu

GEORGE TOWN: Seorang lelaki didakwa menetak pergelangan isterinya dengan sebilah pisau di tempat letak kenderaan di flat Bayu Nyaman, lewat Sabtu (11 Ogos) setelah naik darah kerana cemburu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.55 tengah malam tadi dan bergegas ke tempat insiden sebelum mendapati wanita berusia 24 tahun berkenaan telah putus pergelangan tangan kirinya.

"Pada mulanya polis menerima maklumat berlaku kejadian ragut sehingga menyebabkan mangsa cedera kerana ditetak suspek namun sebaik kami sampai di lokasi insiden, wanita itu didapati telah putus pergelangan tangan kirinya.

"Berdasarkan siasatan awal,mangsa telah ditetak oleh suaminya dengan sebilah pisau sebelum suspek  melarikan diri dan tiada barang berharga yang hilang daripada wanita itu," katanya di sini hari ini (12 Ogos).

Supt Anbalagan menyatakan bahawa mangsa dihantar ke Hospital Penang untuk menjalani rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pasangan tersebut sedang menjalani proses penceraian dan beberapa siasatan mendedahkan bahawa suaminya berasa cemburu kerana dia mendakwa mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain selama dua tahun, katanya.

Lelaki tersebut yang mempunyai empat rekod jenayah sudah ditahan bagi membantu dalam siasatan.  

- BERNAMA/NA/na

Top