Images
  • mardiana
    Mardiana tidak sangka akan ditinggalkan suami. (Gambar: Astro Awani)

Suami gurau dikebumikan sebelah anak, maut dalam kejadian tanah runtuh

KOTA MARUDU: Gurauan seorang suami untuk dikebumikan bersebelahan dengan kubur anaknya yang meninggal tiga tahun lalu seakan menjadi petanda mendiang akan pergi selamanya.

Menurut balu mangsa, Mardiana Majapah, 37, mendiang suaminya Jaimin Bien, 46, pernah berkata demikian sebelum kejadian berkenaan yang dianggapnya hanya sebagai gurauan semata-mata.

"Sebelum ini mendiang ada menyatakan sekiranya dia meninggal, dia mahu dikuburkan bersebelahan dengan anak kami yang meninggal tiga tahun lalu akibat barah buah pinggang, di Kampung Melangkap," katanya semasa di Hospital Kota Marudu semalam (12 Jan).

Menurut laporan Astro Awani, Mardiana mempunyai enam cahaya mata hasil perkahwinan hampir 20 tahun bersama mendiang dengan anak sulungnya berusia 19 tahun manakala bongsu pula berusia lima tahun.

Beliau turut menyifatkan pemergian mendiang menjadi kehilangan besar buat keluarganya apatah lagi, dua anak mereka masih bersekolah.

"Selalunya setiap kali hujung minggu dia akan mengambil kami di Kampung Melangkap untuk ke Kampung Surung-Surung kerana saya akan berada di sana sepanjang minggu persekolahan untuk menjaga anak-anak," katanya.

KELUAR INGIN BELI BARANG KEPERLUAN

Mardiana yang kali terakhir bertemu dengan suaminya Isnin lalu (8 Jan), berkata ketika kejadian tanah runtuh itu, suaminya dalam perjalanan menuju ke Pekan Kota Marudu untuk membeli barang keperluan, lapor Astro Awani. 

"Untuk membeli barang keperluan, suami akan pergi membeli di Pekan Kota Marudu dan jika mempunyai urusan lain, dia akan memberikan duit kepada saya untuk membeli barang keperluan di rumah," tambahnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam sekitar pukul 7.20 pagi yang memaklumkan ada mangsa tertimbus di kawasan tanah runtuh.

Dua mangsa maut dalam kejadian.

MOTOSIKAL TERTIMBUS DALAM TANAH RUNTUH

"Pasukan Bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 8.04 pagi. Mangsa pertama dijumpai dan dikeluarkan pada 8.31 pagi sementara mangsa yang kedua dikeluarkan pada 9.28 pagi," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Mohd Izaan Abdullah berkata, kejadian itu diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah ditemui di lokasi insiden.

Menurut Astro Awani lagi, kedua-dua mangsa ditemui maut selepas motosikal dinaiki mereka tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di KM36 Jalan Marak Parak-Ranau semalam (12 Jan).

Difahamkan, kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke Pekan Kota Marudu untuk membeli barangan keperluan dengan menaiki motosikal jenis Honda Ex5 sebelum ditemui tertimbus oleh penduduk setempat. 

- Agensi berita/AQ/aq

Top