Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suami dakwa isteri yang kelar anak sampai mati sering termenung, dengar bisikan

Wanita berusia 31 tahun yang didakwa mengelar leher anaknya sehingga maut kelmarin (17 Jun), didakwa sering termenung dan 'mendengar' suara orang berbisik kepadanya sejak Mei lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Suami dakwa isteri yang kelar anak sampai mati sering termenung, dengar bisikan

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 19 Jun 2018 07:39AM Dikemas Kini : 19 Jun 2018 07:42AM

MARAN: Wanita berusia 31 tahun yang didakwa mengelar leher anaknya sehingga maut kelmarin (17 Jun), didakwa sering termenung dan 'mendengar' suara orang berbisik kepadanya sejak Mei lalu.

Suaminya berkata mereka juga sepatutnya keluar berubat dengan seorang pengamal perubatan Islam di rumah kakaknya di Jengka pada 9.00 malam hari kejadian. Namun peristiwa tragis itu berlaku lebih awal.

Beliau yang berusia 42 tahun dan bekerja sendiri menambah bahawa beliau sempat menidurkan mangsa, anak bongsunya yang berusia setahun tujuh bulan di ruang tamu rumahnya di Felda Jengka 13 sebelum kejadian berlaku.

"Saya menidurkan anak sambil menonton perlawanan bola sepak di televisyen manakala isteri berada di dalam bilik tidur kerana mengaji selepas selesai menunaikan solat maghrib.

"Memang menjadi kebiasaan, saya akan menidurkan anak dan isteri akan membawa anak masuk ke bilik selepas solat. Saya berasa curiga apabila mendengar suara rengekan anak kerana setahu saya, dia sudah tidur. 

ISTERI TERPINGA-PINGA SELEPAS KELAR ANAK

"Saya terus ke bilik dan nampak isteri sedang mengelar leher anak. Saya tolak isteri dan menjerit meminta tolong...Isteri hanya memandang sahaja semasa saya mengambil anak yang berlumuran darah," katanya.

Beliau menambah seorang daripada jirannya membantu beliau menghantar anak ke Hospital Jengka, namun dimaklumkan anaknya sudah meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital.

Sebelum bertolak ke hospital, beliau meminta tolong adiknya yang sedang bercuti raya di rumah keluarga mereka yang terletak berhampiran untuk menjaga isterinya yang kelihatan masih terpinga-pinga.

"Saya bersyukur dua lagi anak lelaki berusia tujuh dan lima tahun tidak berada di rumah kerana mengikut datuknya beraya ke Triang. Jika tidak pasti mereka trauma melihat kejadian itu.

"Anak kini berada di bawah jagaan adik kerana saya tidak mahu mereka pulang ke rumah. Jika tidak, pasti mereka akan mencari ibu dan adik mereka, terutamanya anak kedua kerana mereka begitu rapat," katanya.

TIDAK BERTANYA TENTANG ANAK

Suami mangsa menambah, dimaklumkan oleh adiknya bahawa isterinya yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan ditahan polis semasa beliau masih berada di hospital.

Beliau sudah ke balai polis untuk bertemu isterinya pada awal pagi semalam (18 Jun), dan mendakwa isterinya masih tidak mengetahui kejadian yang berlaku dan banyak mendiamkan diri.

"Dia tanya 'kenapa' sambil memandang gari di tangannya. Tapi dia langsung tidak bertanya tentang anak-anak. Sedangkan sebelum ini, anak memang rapat dengannya kerana isteri tidak bekerja.

"Dia juga memang manjakan anak-anak...kalau saya marah anak, dia akan marah saya semula. Memang tak jangka kejadian begini boleh berlaku pada keluarga saya kerana isteri saya seorang ibu yang penyayang," katanya.

Mangsa sudah dikebumikan semalam (18 Jun), selepas bedah siasat selesai dijalankan.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan