Images
  • mujahid yusof
    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusuf Rawa. (Gambar: Dr Mujahid Yusof Rawa/Facebook) 

SOP serbuan khalwat akan diperbaiki; ikut tatacara Islam sebenar

KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) bagi penguatkuasaan aktiviti khalwat akan dibaiki dengan mengambil kira pendekatan yang mengikut tatacara Islam sebenar termasuk melindungi ruang dan mengelakkan aib pada mangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata pihak berkuasa perlu mengikut prosedur tertentu yang lebih jelas bagi mengelakkan kesilapan termasuk yang bertujuan menganiaya seseorang.

"Apa yang kami mahu lakukan ialah memperbaiki kelemahan. Bukan dapat maklumat dan terus serbu. Pelaksanaan serbuan tidak sempurna banyak kelompongan. Saya di sini mahu memperbaiki SOP, dari segi teknikal.

"Ada kes-kes tertentu yang melibatkan serbuan khalwat sedangkan mereka adalah pasangan suami isteri...ia sesuatu yang mengaibkan," katanya selepas menjadi tetamu Dialog dengan tajuk 'Rahmatan Lil A'lamin di Malaysia' di Universiti Malaya, malam semalam (10 Okt).

"Saya tidak ada statistik kesalahan penguatkuasaan. Apa yang saya boleh katakan banyak salah guna, dan terdapat banyak aduan. Perlu jaga prinsip, jangan mengintip dan aibkan orang,” katanya.

Encik Mujahid berkata SOP buat masa ini berdasarkan aduan tetapi menegaskan bahawa sebarang serbuan perlu mempunyai bukti kukuh sebelum dilakukan.

- BERNAMA/NA/na

Top