Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Serik menunggu, bimbang terlewat, pengundi tunai tanggungjawab awal

Enggan menunggu lama untuk mengundi seperti yang dialami pada Pilihan Raya Umum Malaysia yang ke-14 lalu menyebabkan beberapa pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson memilih untuk keluar awal bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Serik menunggu, bimbang terlewat, pengundi tunai tanggungjawab awal

Gambar fail para pengundi. (Gambar: Justin Ong)

Diterbitkan : 13 Oct 2018 11:51AM Dikemas Kini : 13 Oct 2018 11:58AM

PORT DICKSON: Enggan menunggu lama untuk mengundi seperti yang dialami pada Pilihan Raya Umum Malaysia yang ke-14 lalu menyebabkan beberapa pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson memilih untuk keluar awal bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

Keadaan cuaca mendung dan hujan renyai tidak menghalang mereka untuk berada di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Kampung Sawah, Chuah di Port Dickson seawal 7.30 pagi tadi (13 Okt) bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

Seorang pengundi Encik Lee Tian Hock berkata, beliau hadir untuk mengundi awal kerana serik menunggu lama seperti yang dialami pada pilihan raya umum lalu.

Ahli perniagaan berusia 60 itu kali ini berasa lebih gembira kerana hanya menunggu beberapa minit dan menjadi pengundi pertama untuk menunaikan tanggungjawabnya di pusat mengundi tersebut.

“Saya tinggal di Seremban tetapi saya memilih datang awal ke sini kerana mahu cepat mengundi dan kemudian boleh minum kopi bersama kawan-kawan,” kata beliau.

Meskipun baru sahaja mengundi pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Encik Lee tetap berasa gembira dan teruja untuk mengundi sekali lagi memandangkan ia soal menentukan seorang wakil rakyat yang dapat membantu meningkatkan pembangunan Port Dickson.

Encik Juhadi Sukadis, 66 tahun pula yang pernah menjadi pengundi yang terakhir di kawasan itu pada pilihan raya umum yang lalu, tidak mahu pengalaman mengundi pada saat terakhir berulang lagi.

“Pada pilihan raya umum lalu lebih kurang tiga minit sebelum pusat mengundi ditutup saya mengundi, saya sangat kecewa sebab itu saya pilih datang awal kali ini,” kata beliau.

Encik Juhadi, yang menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan sebab pilihan raya kecil itu diadakan, bagaimanapun menegaskan beliau tetap mengundi kerana merasakan ia adalah hak dan tanggungjawabnya sebagai rakyat.

Seorang lagi pengundi, S.Saravanan pula memilih keluar mengundi awal kerana perlu berkerja selepas itu.

Gembira dapat menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat, pemandu lori itu berharap wakil rakyat yang dipilih nanti dapat memberikan fokus kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan pendidikan seperti sekolah.

Pilihan raya kecil Port Dickson menyaksikan saingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan Anwar Ibrahim dengan calon PAS Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar serta lima calon Bebas, termasuk mantan Menteri Besar Negeri Sembilan Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Encik Anwar, Encik Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Encik Danyal Balagopal Abdullah, pada 12 September lalu bagi membolehkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Parlimen Port Dickson mempunyai 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

LAPORAN BERKAITAN: 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan