Images
  • mill pub
    Kesan agen saraf yang digunakan dalam percubaan membunuh ejen risikan Rusia ditemui dalam bar Mill. (Gambar: AFP/Daniel LEAL-OLIVAS)

Serangan ejen risik Rusia: Agen saraf turut ditemui di bar, restoran Britain

LONDON: Kesan agen saraf yang digunakan dalam percubaan membunuh ejen risikan Rusia ditemui dalam bar dan restoran yang dikunjunginya, menurut ketua pegawai perubatan England pada Ahad (11 Mac).

Cik Sally Davies berkata sehingga 500 individu yang mengunjungi bar Mill dan restoran Zizzi di Salisbury, di bahagian barat daya England, perlu membasuh pakaian dan harta benda mereka sebagai langkah berwaspada.

Serangan pada 4 Mac terhadap mantan ejen Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia disifatkan oleh detektif sebagai percubaan membunuh.

Kedua-duanya ditemui terduduk di kerusi di Salisbury. Mereka masih dalam keadaan tenat di hospital tetapi keadaan mereka stabil.

Pengunjung bar dan restoran itu disuruh membasuh pakaian dalam mesin basuh, manakala pakaian yang hanya boleh 'dicuci kering' harus diletakkan di dalam dua beg plastik yang diikat dan disimpan sementara menantikan nasihat lanjut.

Telefon bimbit, beg tangan dan barangan elektronik harus dilap dengan bersih, dan kemudian dibuang.

Barangan seperti barang kemas dan cermin mata harus dicuci tangan dengan air suam dan sabun, sebelum dibasuh dengan air sejuk.

Risiko terhadap kesihatan orang ramai kekal rendah dan nasihat tersebut adalah sebagai langkah berwaspada, kata Jabatan Kesihatan Awam England.

Setiausaha Dalam Negeri Amber Rudd, juga menteri dalam negeri Britain berkata pada Sabtu, polis sedang memeriksa lebih 200 bahan bukti, sudah mengenal pasti lebih 240 saksi dan memeriksa rakaman kamera keselamatan.

- AFP/IM/im

Komen Anda?

Top