Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Seorang ibu China kembali ke sekolah untuk bantu anak autistik masuk universiti

Autisme dianggarkan dialami lebih 10 juta orang di China, menurut China News Service. Autisme menjejas kelakuan dan cara berinteraksi dengan orang lain serta cara komunikasi dan pembelajaran mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Seorang ibu China kembali ke sekolah untuk bantu anak autistik masuk universiti

(Gambar: Nanjing Normal University)

Diterbitkan : 10 Aug 2018 10:54PM Dikemas Kini : 10 Aug 2018 11:04PM

CHINA: Seorang pemuda di barat daya China menjadi pelajar autistik pertama dari wilayah Sichuan untuk masuk ke universiti, tetapi beliau perlu membiasakan diri untuk menghadiri kuliah tanpa rakan sekelasnya - ibunya. Ini menurut South China Morning Post.

Bao Han akan memulakan penggal pertamanya di Nanjing Normal University of Special Education pada bulan September, dan akan mengikuti pengajian sains komputer. Ini menurut West China City pada hari Ahad (5 Ogos).

Setelah mengalami kesukaran belajar sejak di peringkat sekolah rendah, Bao gembira diterima melanjutkan pelajarannya ke universiti, satu-satunya universiti di China yang melatih para guru untuk membimbing para pelajar berkeperluan khas.

Guru-gurunya di Chengdu memberitahu pihak media bahawa ibunya, Cik Pang Zhihua, sudah melakukan segala-galanya supaya beliau dapat memberikan anaknya peluang mendapatkan pendidikan di universiti.

South China Morning Post melaporkan bahawa Cik Pang mengorbankan kerjayanya sebagai guru fizik lebih 10 tahun yang lalu supaya beliau boleh meluangkan masanya menemani anaknya di bilik darjah dan membantu dalam pembelajarannya.

Beliau berkata Bao dikesan mengalami autisme pada usia tiga tahun, dan menghadapi kesukaran untuk bergaul dengan kanak-kanak lain di tadika.

"Kanak-kanak lain akan berlari bersama di taman permainan, tetapi anak saya sentiasa bersendirian," kata Cik Pang. "Beberapa kanak-kanak yang lain akan mengejarnya dan memanggilnya 'bodoh'."

Ibu Bao memutuskan untuk berhenti bekerja sebagai guru di sekolah menengah dan memohon untuk mengajar di sekolah rendah, dengan harapan beliau boleh bekerja di tadika di mana anaknya belajar. Oleh kerana tiada sebarang jawatan kosong, Cik Pang sebaliknya mengambil keputusan untuk bekerja sebagai pembersih, sekaligus dapat bermain dengan anaknya dan teman-temah sekelasnya semasa waktu rehat mereka.

Autisme dianggarkan dialami lebih 10 juta orang di China, menurut China News Service.

Autisme menjejas kelakuan dan cara berinteraksi dengan orang lain serta cara komunikasi dan pembelajaran mereka.

Di sekolah rendah, Bao mula menghadapi masalah dengan pembelajarannya dan sejak itu Cik Pang meminta izin daripada pihak sekolah itu, sekiranya beliau boleh menemani anaknya di kelas untuk membantunya - mengambil nota, dan mengulangkaji pelajaran dengannya selepas itu.

Pengorbanan Cik Pang berbaloi setelah anaknya lulus ujian bertulis dan temuduga untuk universiti Nanjing itu. Malah, Bao ditemani seorang pelajar tahun pertama universiti selama dua minggu untuk melihat bagaimana beliau akan dapat menyesuaikan diri.

Bagi Cik Pang dan suaminya, mereka akan gembira jikalau anak mereka boleh menjalani kehidupan secara berdikari. Mereka merancang untuk berpindah ke Nanjing, di timur China, untuk menyewa sebuah flat berhampiran universiti anak mereka, lapor South China Morning Post lagi.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan