Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

"Semoga kami dipertemukan semula dengan keluarga yang hilang," penduduk Palu

'Mencari saudara hilang', 'mencari anak hilang'. Itulah antara lambakan poster yang dilekatkan di dinding-dinding bangunan yang masih berdiri teguh di sekitar bandar Palu.

Anggaran Waktu Membaca:
"Semoga kami dipertemukan semula dengan keluarga yang hilang," penduduk Palu

Para penduduk masih menaruh harapan dipertemukan semula dengan orang tersayang, sama ada hidup atau sudah meninggal dunia. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Oct 2018 03:35PM Dikemas Kini : 19 Oct 2018 03:39PM

KOTA PALU: 'Mencari saudara hilang', 'mencari anak hilang'. Itulah antara lambakan poster yang dilekatkan di dinding-dinding bangunan yang masih berdiri teguh di sekitar bandar Palu.

Biarpun merasakan mustahil untuk menemui semula anggota keluarga dan saudara-mara yang hilang akibat bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda bandar itu lebih 20 hari yang lalu, rata-rata penduduknya masih menaruh harapan agar mereka dipertemukan semula, sama ada hidup atau sudah meninggal dunia.

“Mudah-mudahan kita bisa (dapat) ketemu (berjumpa),” luah Mohamad Rudy, 54 tahun, seorang penduduk Kalukubalu, yang jelas begitu berharap dapat menemui sembilan saudaranya yang dihanyutkan tsunami pada 28 September lalu.

“Saudara saya hilang selepas rumah mereka di Perumnas (Pembangunan Perumahan Nasional) di Mamboro, Palu Utara tenggelam dalam amukan tsunami.

“Sehingga kini, belum ada khabar berita. Semoga mereka selamat dan kami kembali bertemu,” kata beliau kepada agensi berita Bernama.

REDA SEKIRANYA ORANG KESAYANGAN TERKORBAN

Bagaimanapun, Mohamad Rudy berkata perkara itu semuanya adalah kehendak Allah SWT, dan reda sekiranya sembilan saudaranya itu sudah ditentukan terkorban dalam musibah berkenaan.

Bagi seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Hassan, 48 tahun, beliau amat berharap agar kakak dan adik lelakinya selamat daripada sebarang perkara tidak diingini biarpun sehingga kini, beliau tidak mengetahui apakah nasib mereka.

“Kakak dan adik saya itu dari Balaroa dan kawasan berkenaan terjejas teruk, namun insya-Allah jika diizinkanNya, mereka masih hidup, pasti saya mahu bertemu dengan mereka kembali,” katanya.

Berkongsi harapan sama ialah Mohd Tahir, 60 tahun, yang masih menantikan khabar berita sepupunya yang sehingga hari ini gagal dikesan.

“Jika dia (sepupu) masih ada, saya pohon Allah temukanlah kami, namun jika benarlah dia sudah meninggal dunia, saya ikhlaskan, tetapi berharap supaya jasadnya itu ditemui, supaya saya boleh sempurnakan pengebumiannya,” kata penduduk Janoge itu dalam nada sebak.

Gempa bumi dan tsunami yang melanda Palu setakat ini sudah mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terjejas akibat tragedi tersebut. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan