Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Selepas Tok Pa, Anifah; mungkin Hishammuddin ikut jejak keluar UMNO

Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dilaporkan antara Ahli Parlimen dari UMNO yang akan meninggalkan parti itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Selepas Tok Pa, Anifah; mungkin Hishammuddin ikut jejak keluar UMNO

Hishammuddin Hussein. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Sep 2018 05:59PM Dikemas Kini : 19 Sep 2018 06:03PM

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dilaporkan antara Ahli Parlimen dari UMNO yang akan meninggalkan parti itu.

Menurut sumber, beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selama hampir dua jam di Putrajaya pada Selasa (18 Sep).

Astro Awani masih mendapatkan pengesahan lanjut daripada Encik Hishammuddin berkenaan perkara tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin mengesahkan akan ada beberapa lagi Ahli Parlimen daripada UMNO yang akan meninggalkan parti itu.

Beliau bagaimanapun, enggan mendedahkan jumlah serta nama Ahli Parlimen UMNO tersebut.

"Memang akan ada lagi Ahli Parlimen yang akan keluar daripada UMNO. Namun, enam Ahli Parlimen UMNO di Sabah akan tetap kekal bersama UMNO," kata Encik Bung Mokhtar seperti ditukil Astro Awani.

Jelas beliau, tindakan Encik Mustapa Mohamed dan Encik Anifah Aman keluar dari UMNO adalah atas kepentingan diri mereka sendiri.

Menurut beliau, mereka yang meninggalkan parti Melayu itu adalah mereka yang telah mendapat tempat yang baik di dalam kerajaan suatu ketika dahulu.

"Kalau kita lihat di Kelantan, UMNO tidak pernah menang untuk menawan negeri itu pada pilihan raya. Tapi Mustapa tetap diberi kedudukan yang baik (sebagai Menteri Kabinet)," ujarnya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Tuaran Mohd Hajiji Noor ketika diminta mengulas mengenai keputusan keluar parti Encik Anifah Aman berkata, beliau menghormati keputusan dibuat Encik Anifah yang berkuat kuasa, hari ini (19 Sep).

Astro Awani melaporkan Encik Mohd Hajiji sebagai berkata, UMNO Sabah akan meneruskan perjuangan untuk kepentingan rakyat dan menganggap bahawa keputusan Ahli Parlimen Kimanis itu sebagai satu ujian buat ahli-ahli UMNO di Sabah.

"UMNO Sabah menghormati keputusan beliau (Anifah) dan menganggap bahawa ini merupakan satu ujian buat parti ini. Saya juga ingin menyatakan bahawa UMNO Sabah akan tetap meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, mantan Menteri Luar Anifah Aman mengumumkan keluar UMNO dan pengumuman ini dibuat kurang 24 jam selepas Encik Mustapa Mohamed membuat keputusan keluar parti pada Selasa lalu.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan