Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sekolah di M'sia terima kecaman selepas perkenal dasar asingkan cawan orang Islam, bukan Islam

Sebuah sekolah rendah di Malaysia kini menimbulkan kontroversi selepas ia memperkenalkan dasar mengasingkan cawan minuman bagi murid islam dan murid bukan Islam. 

Anggaran Waktu Membaca:
Sekolah di M'sia terima kecaman selepas perkenal dasar asingkan cawan orang Islam, bukan Islam

Gambar fail Mufti Perak Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria. (Gambar: Petikan skrin dari video Youtube)

Diterbitkan : 11 Aug 2017 06:47PM Dikemas Kini : 11 Aug 2017 07:00PM

KUALA LUMPUR: Sebuah sekolah rendah di Malaysia kini menimbulkan kontroversi selepas ia memperkenalkan dasar mengasingkan cawan minuman bagi murid islam dan murid bukan Islam. 

Langkah itu dikritik Mufti Perak hari ini kerana bimbang ia mengundang kebencian terhadap agama Islam. Sekolah itu difahamkan ialah Sekolah Kebangsaan Taman Puteri, di Hulu Langat, Selangor.

Beberapa pihak mula melahirkan rasa tidak puas hati selepas gambar cawan-cawan dengan label "MURID ISLAM" dan "MURID BUKAN ISLAM" tersebar di media sosial. Label tersebut difahamkan diletakkan bersebelahan dengan mesin pembahagi air di sebuah blok bangunan di sekolah itu yang dipercayai untuk kegunaan murid-murid.

Mereka yang menolak tindakan tersebut melihatnya sebagai satu layanan tidak baik kepada murid-murid di sekolah itu yang datang daripada agama dan bangsa lain. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa tindakan tersebut tidak mengikut nilai yang ditetapkan dalam agama Islam.

TINDAKAN MENGASINGKAN CAWAN HARUS DIHENTIKAN DENGAN SECEPAT MUNGKIN

Seorang ibu kepada murid sekolah tersebut, Madavhi, yang ditemu bual oleh wartawan freemalaysiatoday.com mengatakan bahawa tindakan tersebut harus dihentikan dengan cepat kerana beliau merasakan bahawa kanak-kanak dari semua kelompok masyarakat "haruslah makan dan main bersama”. Baginya, tindakan tersebut tidak seharusnya berlaku.

Dalam beliau, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria juga menyifatkan perkara tersebut berunsurkan perkauman selain mendorong kebencian dan penghinaan terhadap kaum lain.

"Ia tidak seharusnya dilakukan. Kita harus mengetahui bahawa undang-undang Islam tidak terlalu ketat sehinggakan ia mengundang kebencian daripada orang.

"Islam memandang serius hubungan antara manusia (tanpa menghiraukan agama). Cawan yang digunakan oleh bukan Islam, boleh juga digunakan oleh orang Islam, sama seperti periuk yang digunakan oleh bukan Islam boleh digunakan oleh orang Islam," kata Mufti Perak itu kepada New Straits Times (NST).

Laporan itu menambah bahawa Mufti tersebut menegaskan bahawa tindakan tersebut harus dihentikan dengan secepat mungkin dengan mengatakan bahawa ia tidak berasas, walaupun mereka yang bukan Muslim makan makanan yang dilarang oleh Muslim.

Di dalam hal ini beliau memberikan contoh, walaupun orang bukan Muslim memakan babi, itu tidak bermakna bahawa bibir mereka itu najis.

DASAR PENGASINGAN CAWAN 'TIDAK MENCERMINKAN AJARAN ISLAM SEBENAR'

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan dasar sekolah tersebut sebagai mendukacitakan dan tidak menggambarkan ajaran Islam yang sebenar.

Beliau berkata perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku terutama di dalam negara yang hidup dalam suasana kepelbagaian dan berharap perkara seumpama tidak berlaku di Perak.

"Ini seolah-olah kita nak menggambarkan bahawa Islam keras dan tidak bertoleransi langsung sedangkan Islam adalah agama sifatnya kesejahteraan kepada semua.

"Kita tidak mahu perkara ini berlaku di Perak dan saya tidak suka ada pihak yang cuba memisahkan kehidupan kita iaitu kehidupan bernegara," kata Dr Zambry lagi. 

Sumber : Agensi berita/UR/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan