Images
  • nazir razak
    (Gambar fail: @nazir.razak/ Instagram)

Saya dah muak ingatkan pemerintahan M'sia perlu diperbetul, kata adik Najib

KUALA LUMPUR: Tindakan pemimpin dulu yang terlalu tegar dan mengutamakan kepentingan diri disifatkan sebagai punca kegagalan usaha mencorak perubahan Malaysia ke arah yang lebih baik.

Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak memberitahu Astro Awani bahawa beliau berulang kali menganjurkan supaya dilakukan pembetulan secara keseluruhan terhadap pemerintahan negara, namun tidak dipedulikan pemerintahan dahulu.

"Saya sudah muak mengingatkan mereka bahawa Malaysia perlu diperbetul, tetapi semua cubaan di bawah pemerintahan terdahulu gagal disebabkan ketegaran dan kepentingan diri.

"Kini anda boleh!" tulis Datuk Seri Nazir yang merujuk kepada penubuhan kerajaan baru di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad seperti ditukil Astro Awani.

Datuk Seri Nazir yang juga adik kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam catatan di laman Instagramnya itu turut mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir atas pelantikan beliau sebagai perdana menteri ketujuh.

"Tahniah, YAB Tun Mahathir, PM Malaysia ke-7. Malaysia menunjukkan kepada dunia bahawa peralihan kuasa boleh berlaku secara aman selaras dengan kemahuan rakyat.

"Malaysia, ikon demokrasi baharu," kata Datuk Seri Nazir dalam catatan di akaun Instagramnya pada Jumaat (10 Mei).

Menurutnya, walaupun dilihat bersengketa dengan Datuk Seri Najib dan UMNO, Dr Mahathir tidak lupa memberikan kata pujian kepada mentornya yang juga ayah Datuk Seri Nazir iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Tambahnya, Dr Mahathir dan ayahnya mempunyai tekad yang sama dan sanggup berkorban demi membina negara, lapor Astro Awani.

Datuk Seri Nazir dalam postingnya turut mendoakan kejayaan kerajaan semasa mencorak "Malaysia baru" sepertimana yang diunjurkan di dalam manifesto Pakatan Harapan. 

- Agensi berita/AQ/aq

Top