Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Saya ada sarjana dalam bidang politik Islam,' Abdul Hadi sangkal tuduhan Mahathir

“Saya ada sarjana dalam bidang politik Islam, sebab itu parti memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi pemimpin dan Menteri Besar, dan memerintah Terengganu dengan begitu lama,” kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjawab dakwaan kononnya beliau tiada kepakaran dalam bidang itu.

Anggaran Waktu Membaca:
'Saya ada sarjana dalam bidang politik Islam,' Abdul Hadi sangkal tuduhan Mahathir

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 19 Apr 2018 02:52PM Dikemas Kini : 19 Apr 2018 02:54PM

KUALA TERENGGANU: “Saya ada sarjana dalam bidang politik Islam, sebab itu parti memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi pemimpin dan Menteri Besar, dan memerintah Terengganu dengan begitu lama,” kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjawab dakwaan kononnya beliau tiada kepakaran dalam bidang itu.

Abdul Hadi memperoleh Ijazah Sarjana Siasah Syariah (Sains Politik) di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir, pada 1976.

Ketika menyangkal dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya beliau tiada kepakaran dalam bidang politik dan pentadbiran negeri, presiden PAS itu berkata adalah tidak benar tuduhan Dr Mahathir kononnya beliau gagal mentadbir Terengganu.

"Sedangkan kegagalan pentadbiran negeri ketika itu adalah disebabkan oleh campur tangan kerajaan persekutuan yang ketika itu dipimpin Dr Mahathir," kata beliau.

“Malangnya berlaku kekangan dari segi ekonomi dan pentadbiran (semasa PAS memerintah Terengganu) di mana berlaku campur tangan kerajaan persekutuan yang ketika itu dipimpin oleh Tun M, dan campur tangan itu bercanggah dengan konsep pembangunan kerajaan negeri pada ketika itu," jelas beliau.

Beliau menarik perhatian kepada Kelantan yang menurutnya banyak hak penduduk dinafikan sebab campur tangan kerajaan persekutuan pada zaman Dr Mahathir.

Namun Kelantan masih berjaya bertahan di bawah pimpinan PAS hingga ke hari ini, kata beliau.

Datuk Seri Abdul Hadi berkata rakyat sendiri kini boleh melihat tuduhan Dr Mahathir dan kebenaran di sebaliknya.

ABDUL HADI TIDAK TANDING KERUSI DUN

Sementara itu, mengulas keputusan beliau untuk tidak lagi bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang pada PRU kali ini, Abdul Hadi berkata langkah itu untuk membolehkan beliau memberikan fokus kepada pentadbiran parti di peringkat pusat.

“Dalam masa yang sama, saya juga dilantik menjadi Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia dan oleh sebab itu, saya rasa tidak wajar untuk saya turut bertanding kerusi DUN Rhu Rendang ini,” kata beliau.

Menurut Datuk Seri Abdul Hadi, PAS turut bersedia menjadi dalang politik dan bergabung dengan mana-mana parti yang sedia memartabatkan Islam dan melaksanakan keadilan untuk rakyat secara keseluruhan.

“PAS berpegang teguh kepada prinsip perjuangan dengan mengutamakan kerjasama yang mendatangkan manfaat kepada agama dan negara. Kita optimis mampu memenangi 40 kerusi Parlimen dalam PRU14 sekali gus memperbaiki pencapaian pada PRU lalu.

“Kita berharap PAS akan menjadi ‘kingmaker’, dihubungi semua pihak yang tubuh kerajaan. Itu minimum yang kita nak usahakan daripada 160 kerusi. Itulah penyelesaian masalah dengan Islam, kerana Islam adalah untuk semua, adil untuk semua, yang boleh diterima oleh semua pihak,” kata beliau.

Datuk Seri Abdul Hadi berkata PAS sedia berbincang dan bekerjasama dalam menubuhkan kerajaan campuran dengan mana-mana parti yang bersedia menerima syarat-syarat ditetapkan oleh parti itu.

Pada PRU13, PAS memenangi 21 kerusi Parlimen dengan menyertai Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP dan PKR manakala untuk PRU14. PAS membentuk Gagasan Sejahtera yang disertai badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa parti politik. 

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan