Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Saudi harap dapat pikat pelancong dari seluruh dunia guna sistem visa baru

Arab Saudi merupakan salah satu negara yang paling sukar diakses di dunia - jarang sekali para pelancong dari negara-negara Barat kelihatan di negaranya. Namun, di bawah sistem baru visa Saudi, para pelancong Barat mula memasuki negara itu bermula hujung minggu ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Saudi harap dapat pikat pelancong dari seluruh dunia guna sistem visa baru

Para pelancong kelihatan menyaksikan perlumbaan Formula E di Riyadh. (Gambar: Faisal Al Nasser/Reuters)

Diterbitkan : 16 Dec 2018 09:11PM Dikemas Kini : 16 Dec 2018 09:20PM

RIYADH: Arab Saudi merupakan salah satu negara yang paling sukar diakses di dunia - jarang sekali para pelancong dari negara-negara Barat kelihatan di negaranya. Namun, di bawah sistem baru visa Saudi, para pelancong Barat mula memasuki negara itu bermula hujung minggu ini.

Beribu-ribu peminat membanjiri wilayah bersejarah Diriyah bagi menyaksikan Formula E, iaitu satu perlumbaan kenderaan elektrik. Sempena acara itu juga, satu konsert juga diadakan di mana bintang-bintang terkemuka seperti David Guetta dan Black Eyed Peas akan tampil dalam konsert tersebut.

Ada juga rakyat Saudi yang hadir ke acara itu meskipun belum terbiasa dengan kegiatan hiburan di negara mereka. Putera Mahkota Mohammed bin Salman memansuhkan larangan pawagam dan konsert-konsert awam hanya dua tahun lalu.

Meskipun kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi dan perang di Yaman menarik perhatian dunia baru-baru ini, sebilangan warga Barat tetap merebut peluang untuk berkunjung ke negara itu yang lazimnya hanya membenarkan rakyat asing ke negaranya atas urusan perniagaan, bekerja ataupun bagi mereka yang ingin melakukan ibadah haji dan umrah.

Seorang rakyat Amerika, Jason, akan meluangkan seminggu di sana bersama isterinya yang berasal dari Jerman. Beliau dilaporkan akan ke kawasan padang pasir dan melawat ke tapak-tapak warisan di Ushaiger, 200 kilometer barat laut ibu kota Saudi.

"Perlumbaan itu menarik tetapi sejujurnya, ia membuka peluang bagi kami untuk melihat negara itu. Kami bahagia dapat berada di sini," katanya. "Saya memang teringin untuk datang ke sini sejak sekian lamanya... saya gembira mereka membenarkan kami datang ke sini."

Sekitar 1,000 warga asing dari 80 negara mendapat visa baru "sharek", yang dikeluarkan sempena acara-acara tertentu, menurut pihak berkuasa.

Jumlah pelancong itu hanya sebahagian daripada sasaran yang Arab Saudi tetapkan.

"Kami berharap dapat mempelajari daripada ini dan lihat apa lagi yang perlu diperbaiki pada masa depan. Tapi apa yang saya boleh beritahu anda adalah ada banyak permintaan..." kata Naib pengerusi Penguasa Sukan Umum Putera Abdulaziz bin Turki al-Faisal.

SASARAN PELANCONGAN

Rancangan untuk memikat ramai pelancong dari luar negara sudah dibincangkan selama bertahun-tahun. Namun, rancangan itu tergendala kerana ada pihak yang masih berpandangan konservatif.

Kini, Putera Mahkota Saudi harap dapat membangunkan industri-industri baru dan tidak hanya bergantung kepada eksport minyaknya.

Pelancongan antara perkara utama yang diusahakan, meskipun prasarana di negara itu terbatas. Pembaharuan dijangka akan membantu negara itu meraih pendapatan sehingga $46.6 bilion (S$64.1 bilion) menjelang 2020 berbanding $27.9 bilion (S$38.4 bilion) pada 2015. 

Sumber : Reuters/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan